Friday 26 October 2012

Travelog: Orang Asli Mahabbah Program 3 [Edisi Arif]

Posted by Faciteam on 21:20 with No comments


TRAVELOG DUA HARI DI OAMP3
..22/10/2012, ruang kecil..

Aku bosan mengenangkan mereka yang masih bertungkus lumus di Kampung Leryar – juga mengenangkan perjalanan pulang ke kampung halaman esok. Jadinya aku memilih untuk menulis. Menulis apa yang aku fikirkan sepanjang perjalanan pulang dari sana. Menulis apa yang aku ingin sampaikan kepada rakan-rakan OAMP yang masih di sana tapi tidak kesampaian. Menulis untuk menyampaikan mesej. Oh rupanya menulis adalah sebuah modul juga kerana modul dibuat untuk menyampaikan mesej.

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Pagi itu hujan renyai. Aku cuba bertolak awal pagi untuk menyelesaikan tugas biro yang belum selesai. Namun disapa jiran sebelah. Mereka adalah jiran yang berkualiti kerana ia tidak memenuhi criteria ‘tiada kualiti’ Ustaz Siddiq Fadzil – insan tidak berkualiti, kedatangannya tidak menambah pemergiannya tidak berkurang. Ya, mereka akan pergi, berpindah ke rumah baru. Mereka sekeluarga terutama anak-anak kecil mereka menjadi pengubat letih kami setiap petang. Jadi aku harus membalas sapaan, jika mereka tidak menyapa pun aku harus menyapa untuk minta maaf kerana aku tidak dapat membantu mereka berpindah hari itu. Sesal. Ya. Namun, tanggungjawab dan keutamaan, bukan senang untuk memilih.

Kami berkumpul di tempat biasa, CF Sis. Hujan tetap renyai. Kadang-kadang melebat namun tidak merencatkan suasana. Kumpulan ‘medical checkup’ yang bergerak dengan kereta, dikejutkan dengan kekurangan kenderaan ke sana bila Kak Ezmas membatalkan perjalanan ke sana. Kami ada 11 orang tidak mampu menyempit dalam dua kereta cilik (kancil dan kelisa) untuk 5 jam. Kami harus mencari satu lagi kereta.  Kami cuba menservis kereta Ida – yang cilik dan tua- sepantas krew F1 membaiki jentera F1nya sebagai kereta tambahan. Dalam kekecohan mempersiapkan kereta dan kawan-kawan lain sibuk memunggah barang, terdetik hati dan berseloroh bertanya dari jauh kepada Cik Nor, “boleh pinjam kereta.” “Guna la,” ringkas. Soalan yang penting dan dijawab dengan ringkas memang akan ditafsir ianya jawapan main-main. Maka mengulang tanya adalah proses yang perlu. “Serius ?” dengan nada yang serius juga. Oh, jawapan untuk soalan kedua makin ringkas. Angguk. Tahap keyakinan hanya bertambah 0.5 %. Maka proses yang seterusnya adalah bertanya secara bersemuka. Tiada soalan sempat ditanya, segugus kunci diserahkan. But kereta Ida segera ditutup. Selesai.

Keyakinan untuk menyerahkan kereta kesayangan kepada rakan untuk dibawa jauh tidak mudah dibina. Ini maknanya hubungan kami sudah sampai ke mahallah terakhir selepas taaruf dan tafahhum, yakni takaful. Ya, faciTEAM bukan sekadar nama. Rupanya satu keputusan telah menyelesaikan dua masalah. Satu, masalah pengangkutan kami. Dua, masalah membawa-bawa barang program yang tidak muat disi dalam bas. Berkat. Suatu yang sukar difahami orang ‘moden’.

Sepanjang perjalan, aku kerap menelefon. Menelefon dua lagi kereta yang lain yang terlalu kedepan dan terlalu kebelakang untuk memastikan kami sentiasa dalam jalan yang tepat, menelefon kawan-kawan yang bergerak dengan HILUX dari KL dan menelefon kawan-kawan yang di dalam bas untuk menyelesaikan hal-hal tertunggak.. Telefon tidak perlu mahal, yang penting mesej sampai. Di leryar, telefon semahal iPhone tidak berguna tanpa talian. ‘Message could not sent,’ itu yang tertera di skrin. Alat hanya bantuan menyampaikan matlamat. Jangan berlebihan pada alat.

Kami sampai di Leryar dalam jam 5. Memindah barang keluar dari bas, mesyuarat kecil pergerakan untuk hari itu dan bergerak menyelesaikan tugas sebelum gelap. Gelap malam tanpa generator En. Shamsul sebagai sumber elektrik di balai raya, pusat gerak kerja kami. Bingung. Akhirnya, kami bertekad dan meletakkan KPI, jika kami berjaya ‘hidup’ tanpa segala kelengkapan dari En. Shamsul untuk 4 hari maka kami hebat.

Hari pertama saya kira kami hebat.  Dengan bantuan Allah, kerjasama kami segalanya dipermudahkan. Kalau dahulu Jeep Encik Shamsul membantu kami mengambil kanopi di Kampong Kuala Boh, kini kami hanya ada sebuah HILUX dengan ruangan belakang kecil. Memang urusan kami dipermudahkan, kerisauan kanopi jatuh semasa melalui jalan berliku ke Kuala Boh tidak berlaku bila kanopi hanya berada di Sekolah Menson, tidak jauh dari Kampung Leryar.

Kumpuan katering memasak dalam gelap dan rintikan hujan. Mereka cekal. Walaupun pertama kali bekerjasama diketuai Chef Fatin langsung tidak merencatkan juadah ikan sardin malam itu. Sinaran cahaya kecil dari lampu bateri boleh caj memudahkan kerja yang besar.

Buat anak-anak asli Kampung Leryar, kami sudah bersedia. Yang lepas mungkin kami tidak menyangka ‘sambutan’ adik-adik kepada kami, tetapi kini tidak. Kumpulan modul saya kira paling komited, sabar dan kreatif dalam kasih sayang menguruskan mereka. Ya, kasih sayang itu kunci segala. Fethullah Gulen merasakan ‘love’ itu ciptaan terindah Tuhan. Penat mereka ditutup senyuman dalam nyanyian untuk adik-adik. “Sayang-sayang Allah, sayang-sayang rasul. Sayang…”

Malam itu langit menyembunyikan bintang. Awan hujan menutup keindahan langit malam di Kampung Leryar, sesuatu yang aku rindukan dari sini sejak program yang lepas. Langit tercantik aku pernah tengok hanya di sini. Memandangkan malam itu malam pertama dan terakhir, aku sedikit kecewa.

Dikalangn peserta lelaki ada pembahagian tugas menjaga barang-barang. Malam itu tugas aku pada 2/3 malam, 3 pagi hingga 4 pagi. Aku tidur awal.

Tepat jam 3.             
“Arif, bangun. Nanti kau ajak Adi teman kau,” sahut Alan cuba mengejutkan aku.
“Pukul 4 kau kejut Ajmal pulak,” sambung Don sambil bersiap untuk menyambung tidur.
Aku bangun dalam mamai terus menuju ke beg. Mencari sesuatu. Don pelik. “Oh, kau ambil buku ke”.

Malam itu aku cuba menahan mata dari tertidur sambil membaca. Jeri meneman aku menjaga barang malam itu. Aku memilih berjalan-jalan untuk menyegarkan mata. Memang benar, bersenam mencerdaskan minda lantas otak aku terfikir untuk memasang ‘kanopi’ kecil untuk tempat membasuh pinggan.Dalam susah payah memasang ‘kanopi’ tanpa sebarang bunyi untuk mengelakkan gangguan terhadap peserta perempuan yang sedang tidur, aku baru perasan yang bintang sudah keluar dari tempat persembunyian. “Subhanallah,” terpacul keluar tiba-tiba.

Itulah makna sebuah pencarian untuk mencari makna. Makna kewujudan Allah. Aku teringat rekod dunia yang baru dicipta Felix Baumgartner, susah payah beliau naik setinggi 22 batu ke langit untuk mencatat rekod jatuhan bebas paling laju dalam sejarah manusia, 1600km, tetapi untuk apa. Mencari had kekuatan manusia, untuk apa. Kalau bukan akhirnya menginsafi kelemahan dan mengakui kehebatanNya, maka sia-sia. Yuri Gagarin merentas bumi dengan roket akhirnya membuat kesimpulan “kita sehebat Tuhan.” Doktrin komunis anti-tuhan berjaya pada beliau. Tetapi tidak pada seorang menteri di Indonesia yang bertanya pada beliau, “Jika saudara keluar dari roket ketika di langit, saudara akan ketemu Tuhan.”

Kelibat peserta perempuan kelihatan. Kami pulang ke surau jam 4.30 pagi. Ngantuk dan puas. Senyum sendirian.


HARI TERAKHIR..
“Alhamdulillah. Akhirnya kami kumpulan medical check up, seramai 11 orang terpaksa juga meninggalkan program. Ingin sekali kekal bersama kalian sehingga selasa, tetapi kami terpaksa pulang, esok kelas seperti biasa,” aku berangan seolah-olah mengambil peluang bercakap selepas Idin dan Abg Jep sebagai wakil MRA selepas asar tadi dalam slot MRA bersama komiti.

“Sahabat-sahabat telah saya jelaskan pada induksi hari itu untuk punya ilmu dan keupayaan memerhati dengan baik. Memerhati apa sahaja kalian lihat di sini. Kemudian merasionalkan apa yang dilihat. Adik-adik FST rasanya sudah faham konsep ini. Ilmu menentukan keupayaan merasional,” sambung aku sambil memerhatikan cermin sisi kereta. Di belakang Ida dan Lisa sedang terlentok kiri dan kanan mengikut arah kereta sambil memandang jauh dari tingkap masing-masing.


…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………


Pagi itu pagi yang cerah. Kami diminta beriadah. Peserta lelaki memilih bermain bola dan perserta perempuan bermain tuju selipar. Kelibat adik-adik tidak kelihatan. Belum bangun mungkin. Biro modul bertenang pagi itu.


Hari ini kumpulan ‘medical check up’ ada acara penting. Acara yang menjadi penyebab kewujudan kami di sini. Kami bersedia menguruskan barang-barang untuk acara. Dipunggah segala barang-barang akhirnya ada yang tidak cukup. Segala keperluan untuk tujuan pemeriksaan tiada, penimbang, ukur tinggi, penyukat gula dalam darah dan penyukat tekanan darah tiada, yang ada hanya ubat-ubatan. Berat.


Mesyuarat tergempar kami adakan pagi itu. Keputusannya, kami memilih untuk ke klinik berhampiran meminjam sedikit alatan. Jika tiada kami mungkin terpaksa membeli yang baru.


Aku memilih untuk tinggal sahaja di kampung. Rakan-rakan lelaki yang lain pergi menebalkan muka mencari. Pagi itu ziarah bergerak diluar waktu yang dirancang. Aku ikut ziarah dalam keadaan tidak mandi lebih 24 jam. Tiada siapa perasan. Berjaya.


“abe tak kerja ?”

“tak, dah dua tahun takda kerja.” Aku sangsi.
“anak berapa orang?”
“empat.”

Otak aku ligat memikirkan kenapa dan bagaimana. Kenapa tidak bekerja dan bagaimana mereka menyara keluarga.


“Anak-anak sekolah?”

Angguk.
“Yang sekolah menengah?”
“Sampai tingkatan 2 berhenti. Tak tahan sekolah. Jauh sangat. Takda kawan.”
“Tak paksa sekolah? Buat apa dia sekarang?”i
“Tak. Sekarang duduk rumah je dah dua tahun.”

Aku bertanya pada abe yang lain. Jawapan yang sama, tidak mampu memaksa. Aku berkerut.
Aku mengalih soalan kepada perlawanan bola malam tadi, Kelantan dan ATM. Mengalih untuk berfikir permasalahan tadi. Mereka mengajak aku bermain karom, aku menolak dengan baik. Aku memilih untuk teruskan ziarah dan berjalan supaya aku mampu berfikir lagi. Bersenam mencerdaskan minda bukan.

Aku membuat andaian. Mungkin mereka terlalu banyak diberikan sumbangan jadi mereka hanya menunggu bantuan tanpa bekerja. Mungkin tauke-tauke kebun sayur di sini melayan mereka dengan buruk. Mungkin mereka tidak merasakan kepentingan punya pendidikan, ahh ini sudah mirip kes Haji Sarbini dalam Alangkah Lucunya Negeri Ini. Ya pendidikan untuk apa, jika di sekolah tidak mengajar mengenal Tuhan tetapi mengajar mengira x + y = z. Oh hebat jika mereka mampu berfikir sejauh ini. Sangsi lagi.


Mungkin di sekolah anak-anak asli dibuli, tetapi guru disiplin ada, mungkin biaya sekolah mahal, tetapi sumbangan JKEOA ada, mungkin mereka tidak diajar punya cita-cita, sebab mereka belum tonton Laskar Pelangi, ya mungkin. Manusia itu mati bila berhenti berfikir dan tiada cita-cita kata sarjana barat. Banyak betul kemungkinan. Ahh, aku harus bertanya lagi esok untuk mengecilkan kemungkinan. Esok ? Ops.


Berita baik.


Kami berjaya meminjam penimbang berat dan pengukur darah tinggi dari klinik berdekatan. Dua sahaja tetapi itu sudah cukup untuk menggerakkan acara kami. Tidak lama selepas mereka pulang, Abang Jep hadir. Hadir bersama anak kecil bernama Humaira. Taakulanku, budak ini lain macam.

Tidak lama kemudian, kereta Hyundai hitam memasuki perkarangan kampung Leryar. Kelibat Abang Najib bersama Kak Bahyah dan anak-anak kelihatan. Keluarga yang girang.

Sejurus sampai,mereka bertegur sapa dengan semua komiti dan tidak melengah terus mencari ubat-ubatan dan menyiapkan khemah untuk kegunaan ‘medical check up’. Tidak sampai setengah jam, kami sudah bersedia menerima pesakit. Tepat jam 12.30 tengah hari.


Humaira pada mulanya bersama ayahnya merawat pesakit, mungkin merasakan kehadirannya menggangu ayahnya, anak ini memilih untuk bersama kakak-kakak komiti berprogram dengan kawan-kawan orang asli. Sudah aku rasakan, budak ini lain macam. Matang dan cerdik.


Anak Abang Najib dan Kak Bahyah pula, macam biasa ramah dan ringan tulang. Komiti medical check up bertambah dua, Mu’myn membantu menyusun dan mencari ubat, adiknya Muslih membantu memanggil pesakit brjumpa doktor. Mereka bukan pahat dan penukul, tidak sibuk dengan gajet bermain permainan seperti kanak-kanak seusia mereka. Mereka tahu bagaimana untuk membantu. Bukan aku seorang sahaja yang perasan, Abang Jep juga. Muhsyn pula baru berusia 8 bulan, tetapi seperti memahami kerja keluarga mereka yang lain, leka bermain sendiri tidak menggangu ahli keluarga yang lain bekerja.


Dr. Ikhwan pula datang sedikit lewat, tetapi tidak teragak-agak terus mencari ruang memposisi diri menjaga kaunter konsultansi bersama Abang Jep.


Hujan mula lebat.


Jam 3.00 tiada lagi penduduk kampung yang datang. Dr. ikhwan bersiap untuk pulang. Selesai upacara bergambar dengan semua komiti, Abang Najib masuk ke balai raya dengan dulang berisi nasi. Saya tercampak. Baru perasan mereka belum makan semenjak mereka datang jam 12 tadi, terus bekerja. Suami isteri dan anak-anak makan dalam satu dulang di satu sudut dalam balai raya. Saya melihat dari jauh.  Sebak. Memilih untuk keluar.


Diluar pula Abang Jep pula sedang makan bersama sahabat medic yang lain. Aku lari ke surau.


Selepas asar, ada slot komiti bersama MRA. Abg Jep menjadi wakil MRA tetapi beliau bercakap dalam dua topi petang itu, topi ahli tua Faciteam dan topi wakil MRA Pahang. Jelas kegembiraan Abang Jep melihat perjalanan program ini, beliau juga berulang kali mengulang bahawa program diluar program fasilitator sekolah merupakan perancangan jangka panjang beliau semasa menjadi CC dan sangat seronok melihat ia berjaya dilaksanakan sekarang. Beliau bercakap sambil melihat Humaira terbaring dibelakang surau, tidur keletihan.


Sebagai wakil MRA pula, beliau menegaskan yang MRA bersedia membantu perjalanan program begini, dan di MRA sendiri memang mereka memerlukan sejumlah sukarelawan untuk menggerakkan tugas kemanusiaan ini. Ya. Orang asli baru satu, kita banyak lagi cabang. Rohingya, anak yatim, gelandangan, Sabah. Masih terfikir untuk menonton drama korea 24 episod?


Diluar abe-abe sudah berkumpul untuk bermain futsal seperti yang dijanjikan semalam. Pertandingan futsal antara UIA dan penduduk asli Kampung Leryar dan Kuala Boh.


Kami terpaksa pulang. Berat hati ini meninggalkan tempat ini. Pertama berat meninggalkan rakan-rakan lain bertungkus lumus di sini, kedua berat meninggalkan tim futsal, khuatir tewas teruk tanpa aku -riak- (sampai sekarang tak tahu misi tercapai ke tak, misi jangan bolos lebih 5). Yang disesalkan juga ialah tidak dapat meneruskan ziarah. Meneruskan kajian. Ini yang terbaik.


Tiga kereta meluncur keluar dari kampung. Berat tangan ini melambai. Doa ku kirimkan buat kalian.


…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………


“Saya ingin merasionalkan sedikit dari pemerhatian dan ilmu yang ada pada apa yang berlaku hari ini. Saya melihat ada definisi rehat yang berbeza bagi abang-abang dan kakak kita,” saya menambah ucapan saya dalam lamunan.


“Cuti hujung minggu bagi seorang doktor adalah waktu rehat yang sangat bernilai. Perjalanan 5 jam dari kuantan ke leryar, berada di leryar tidak sampai 5 jam kemudian menempuh perjalanan pulang 5 jam kembali, habis hujung minggu di jalan, esok sambung kerja kembali,” teringat pesan naqib, rehat kita bila mati, begitu sekali definisi rehat mereka.


“Dahulu saya pernah menggelar kawan-kawan surau saya ‘takde life’ kerana jarang terlibat bersosial nakal dengan yang lain, kini saya pula digelar dengan gelaran ini kerana setiap hujung minggu program. Makanya kita punya definisi ‘life’ yang berbeza. ‘Life’ atau ‘kehidupan’ kita bukan tentang diri sendiri dan keluarga sedarah, ia juga tentang memikirkan kehidupan keluarga tidak sedarah kita. Ini yang ditunjukkan senior-senior kita. Definisi ‘kehidupan’ yang berteraskan semangat hamba dan khalifah menghasilkan pengisian waktu ‘rehat’ yang berbeza dengan orang lain,” bebel saya tanpa jeda.


Tiba-tiba. Kereta terhenti, begitu juga lamunan.

Sahal memberhentikan kereta di tepi jalan di lereng bukit tidak jauh dari Leryar. Rupa-rupanya mereka ingin melihat keindahan ciptaan Tuhan suci tanpa kerosakan manusia. Sungguh, indah sampai ke hati. Perasaan yang tidak dapat dirasa semasa melihat hutan batu di KL juga Kuantan. Beza sekali ciptaan ‘Pencipta’ dengan ciptaan ‘Yang Dicipta’.

Poket bergegar. Terkejut. Oh, telefon bimbit. Bertalu-talu SMS masuk. Salah satunya betul-betul mengembalikan aku kepada realiti kehidupan esok.


“ESOK PATIENT AREP DATANG JAM BERAPA”


Oh, aku terlupa memanggil pesakit untuk temujanji esok. Kehidupan diteruskan. Tanggungjawab yang berbeza tetapi dengan misi yang sama. Ya misi yang sama dengan kawan-kawan di Leryar. Menjadi cermin yang baik kepada cahaya Islam yang sempurna itu. Alat berbeza matlamat sama. Melihat dan merasioanal dengan ilmu.



lamunan terhenti. melihat keindahan ciptaan Tuhan.


manusia sakti. kehidupan kerjaya, keluarga dan belajar berbeza..pesan mereka

Oleh: Arif Alwan


0 comments:

Post a Comment