Saturday 3 November 2012

Travelog: Orang Asli Mahabbah Program 3 [Edisi Fathiah]

Posted by Faciteam on 15:07 with No comments

Sedikit perkongsian daripada insan yang masih bertatih.
.....................................................................................................................................................

Setelah sekian lama tidak mengasak fikiran untuk menulis, Alhamdulillah hari ini saya gagahi jua untuk satu coretan berbentuk perkongsian. Saya kira tersangatlah rugi jika cerita saya haya berhenti setakat pengakhiran program kita ini sahaja.

Alhamdulillah , saudara Arif dan Kak Liyana sudah berjaya mencipta travelog OAMP 3 dari sudut pandangan mereka. Saya ? Bagaimana mungkin hanya mereka yang mempunyai cerita untuk dikongsikan. Saya juga peserta program ini. Jadi haruslah saya ada ceritanya tersendiri. Mungkin kalangan ahli peserta kita mempunyai sudut pandangan yang berbeza. Kita kan Daei yang berterbangan melata di bumi ini, melihat sesuatu dari sudut yang berbeda.

Travelog KITA dimulakan dengan lafaz Basmallah.

20/10/12 (Sabtu)

Pagi yang indah. Pemergian kami diiringi dengan hujan yang renyai-renyai. Seakan hujan menangisi pemergian kami  (errrkkk). Hujan rahmat barangkali. Ayuh bersangka baik. Hujan tidak menjadi penghalang buat kami untuk meneruskan kerja pemunggahan barang-barang ke dalam perut bas. Pelbagai cara digunakan untuk mengelakkan diri daripada terkena percikan hujan. Ada yang berpayung. Ada yang berbaju sejuk. Ada juga yang bersahaja tanpa alas di kepala. Kata abang-abang dan kakak-kakak ketika FST dulu, kita kan faciteam, “menggunakan apa yang ada”.  Dalam kesibukan menyempurnakan kerja, saya berdiri di satu sudut. Memerhatikan setiap raut wajah yang hadir. Sungguh saya tidak berapa mengenali muka-muka yang hadir. Walaupun meeting sudah beberapa kali dijalankan , saya masih belum berjaya mengingati nama-nama peserta lain. Hendak bertaaruf? Ah, mana mungkin sempat. Nanti sajalah. Usai selesai kerja pemunggahan barang2  dilakukan, kami bertolak ke destinasi cinta , Kampung Leryar! Bacaan doa diketuai oleh saudara Zulhusni. Terima kasih.

Di dalam bas, suasananya sangat meriah. Gelak tawa menjadi halwa telinga. Alangkah bahagianya mereka, getus saya. Jauh di sudut belakang bas, saya dan Izzati ditempatkan. Saya dan saudari Izzati yang masih belum mengenali kakak-kakak senior, hanya menjadi pemerhati yang setia. Jauh di sudut hati saya ini bebisik, alangkah seronoknya jika dapat mengenali keluarga baru saya ini. InshaAllah Kg Leryar akan menjadi saksi sesi taaruf kami.

Kami selamat sampai ke destinasi pada saat jarum jam menunjukkan hampir pukul 4 lebih. First impression… Subhanallah! Pemandangan yang cukup mendamaikan mata. Susun atur rumah yang kemas. Kabus di atas bukit sana. Pokok menghijau,kulihat hijau. Tiada sampah-sarap di pandangan mata. Inilah yang di cari, detik hati saya.

Tugasan pertama menyapa kami, iaitu ziarah. Misi kami pada ziarah pertama ialah bertaaruf. Mungkin pada saya , ziarah pertama ini sangat penting kerana saya perlu memerhatikan keadaan mereka. Adakah releven keadaan mereka dengan misi kami yang akan mendatang. Team ziarah saya adalah Saudara Tawfiq, Kak Sultanah, Hafiza dan Syafiqah Izati ( SI ). Kali ini, hanya saya dan Kak Su berkesempatan untuk mengziarahi mereka. 1001 ragam yang kami terima. Ada yang asyik mengelat je. Ada yang dengan ramahnya menerima kehadiran kami. Ada yang tak mampu berkomunikasi menggunakan bahasa melayu. Ini bukan penghalang! Ini bukan penghalang! Pujuk hati saya. Cerita untuk hari ini di akhiri dengan post mortem dan bacaan Al mulk. Apakah masih ada hari esok untuk kami? Untuk saya? Apa-apa pun, kami harus bersedia untuk cabaran di hari esok. Andai maut akan menjemput kami malam ini, kami masih lagi perlu mempersiapkan diri untuk esok hari.

21/10/12 ( Ahad )

Dingin sejuk pagi ini bagai mencucuksehingga tulang belakang. Pagi yang indah ini dikejutkan dengan suara Kak Ina.
‘’bangun!” “bangun!” “qiam!”.
Saya sedikit merungut. ‘ haishh Kak Ina ni. Pagi-pagi dh kacau orang tidur' (maaf Kak Ina. Kita cerita belakang naaa :)  ). Namun saya dan sahabat lain gagahi juga untuk bangun. Setelah semalam diduga dengan keadaan balairaya yang tidak ada elektrik, pagi ini kami di duga lagi dengan keadaan bilik air yang tidak disimbahi sebarang cahaya. Hendak merungut? Untuk apa. Siapa yang paksa masuk hutan dalam bukit ni waktu cuti sem ni. Saat itu, saya sedaya upaya memperbetulkan niat. Hadirnya saya dan sahabat di sini bukan kerana tilam yang empuk. Bukan kerana  bilik air bak di Mahallah Maimunah. Saya di sini kerana ada tuntutan agama yang digalaskan di bahu saya dan sahabat yang lain. Dan tidak lupa amanah pihak tertentu yang disandangkan kepada kami.
Istiqfar menjadi pengubat dikala itu.

 Astaqfirullahalazim.

Usai qiam serta solat subuh berjemaah, biro sukan mengambil tempat. Pagi itu, saya dan sahabat perempuan yang lain bermain tuju selipar. Ini kali pertama saya bermain permainan seumpama ini. Terasa jakun seketika. Segala peraturan saya redah. Saya tidak pasti apa yang dimainkan oleh peserta lelaki. Mungkin bola sepak. Maaf, seronok sangat bermain sehingga terlepas pandang saudara lelaki kita. Apa yang pasti, hati kami sedikit terubat. Lupa seketika permasalahan yang di hadapi.

Beriadah sudah. Makan pun sudah. Misi seterusnya dilancarkan. Ziarah ke 2. Ziarah hari ini membawa misi rukun Islam yang pertama iaitu syahadah. Malangnya kami di biro special task diberi tugasan untuk membalut hadiah untuk biro modul dan sukan. Bak kata saudara Arif, ‘ task kita special, so kita kena sentiasa bersedia dengan sebarang kerja yang diberikan dari biro yang lain pada bila-bila masa’. Suka saya untuk memperkenalkan ahli special task kami, iaitu Kak Athirah Adli , Kak Mira ,Taufiq dan mungkin saudara Arif. Haa, semua sudah tengok ke belum hasil kerja membalut kami. Ada gula-gula gergasi. Ada bolasepak. Ada beg sekolah. Ada envelop. Ada rumah yang comel. Kreativiti kami agak tercabar pada saat itu. Errrr. Tidak lupa kepada  saudara Alan dan Kak Ira yang datang membantu kami menyiapkan sisa kerja yang ada. Terima kasih kalian.

Seterusnya sesi medical check up dan slot gigiku cantik mengambil tempat. Pada masa yang sama, team modul dikerahkan ke sekolah untuk slot School Attack. Mungkin slot ini saya tidak mampu untuk berkongsi cerita. Saya dan beberapa sahabat mengambil keputusan untuk berada di slot gigiku cantik yang berlansung di belakang surau. Pada hemat saya , team medical check up sudah mempunyai tenaga kerja yang cukup ( betul ke?). Adik-adik dibekalkan dengan berus gigi serta sedikit ubat gigi dioles ke atas berusnya. Kak Athirah memilih perisa epal, buahan dan strawberi sebagai ubat gigi mereka. Gelagat mereka sangat mencuit hati apabila ada dikalangan mereka menjilat-jilat ubat gigi yang diberikan. Tidak kurangnya ada yang berair mulutnya sementara menunggu arahan supaya memulakan sesi memberus gigi. Mungkin ada yang sudah memakannya. Mungkin. Saya mengambil tempat dan bersila bersama-sama mereka. Unsur kebersamaan diterapkan. Sempat saya bertanya beberapa adik-adik, adakah mereka memberus gigi jika di rumah. Jawapannya seperti  mana yang dijangkakan.

 ‘’Saya tak berus gigi sebab tak ada ubat gigi di rumah’’

 Mungkin OAMP seterusnya boleh ambil perhatian perihal ubat gigi ini. Selesai sahaja slot ini, saya pergi menjengah sahabat lain di medical check up yang diadakan di balairaya. Tetamu yang hadir begitu sabar menunggu. Tidak lama kemudiaan, saya sudah tidak mampu meneruskan lagi sebarang aktiviti. Surau dijadikan tempat untuk merehatkan badan seketika.

Pada sebelah petangnya, beberapa sahabat kami terpaksa pulang ke UIA atas tuntutan yang terpaksa diutamakan. Selamat pulang kalian. Doakan kami mampu SHARE THE BEAUTY OF ISLAM, bisik saya kepada sahabat perempuan yang akan bergerak pulang.

Sementara menunggu azan Isya’ berkumandang, kami berjaya menahan seorang jajak (nenek) daripada pulang ke rumahnya. Namanya saya tidak pasti. Mungkin saya lebih selesa memanggilnya Jajak. Beliau tersangatlah pemalu orangnya. Malangnya beliau tidak mampu bertutur menggunakan bahasa melayu. Komunikasi antara kami agak terbatas. Beliau begitu bermurah hati untuk melemparkan senyuman kepada kami. Sedang kami ralit membaca al quran , tanpa disedari ada sepasang mata yang memerhatikan helaian tafsir yang berada di tangan kami. Melihatkannya, kami mengambil keputusan untuk berhenti membaca dan memberi  fokus kepada jajak ini. Kami mengajarkannya Al Fatihah. Walaupun tidak dapat membacanya dengan lancar, namun saya dapat lihat bertapa bersemangatnya jajak ini. Allahuakbar! Saya kagum dengan beliau. Walaupun tidak mampu membaca ayat-ayat yang tertera, tetapi matanya tidak lepas daripada melihat tulisan di dalam tafsir kami. Oleh kerana komunikasi agak terbatas, kami mengambil keputusan untuk mengajar jajak ini berzikir. Mungkin setakat ini sahaja kami mampu. Moga Allah redha.

Al Mulk dialunkan bersama-sama.

22/10/12 (Isnin)

Pagi ini kami berpeluang untuk beriadhah lagi. Alhamdulillah. Game untuk hari ini ialah ‘’Rounder” (tak pasti ejaannya, maaf). Ini juga pertama kali saya bermain game seperti ini. Semasa game ini berlangsung,  pagi yang sejuk terasa hangat seketika kerana berlaku perselisihan pendapat.
‘aku dulu main macam ni’
‘kat kampong dulu, orang buat macam tu’
‘mana boleh pijak tapak ni’
Alahai itu ini.
Selaku penganjur game ini, Kak Mira bersuara.
‘Kita sekarang di kampong lain, so kita gunakan peraturan Kampong Leryar lah’
Bijak Kak Mira mengawal keadaan. Perselisihan pendapat akhirnya menemui jawapannya. Kami semua meneruskan game yang tergendala seketika. Lopak air menjadi tempat permainan kami. Agaknya percikan air itu disinonimkan dengan percikan kasih sayang antara kami. Allahu. Allahu.  Tidak sempurna aktiviti kita tanpa rasionalnya. Kami akhirnya berlapang dada dan berpelukan sesama sendiri. Indahnya berukhwah.

Ziarah ke 3 seakan akan memanggil manggil kami. Team ziarah berkumpul untuk memilh barang sumbangan yang berupa baju , tudung , seluar , telekung dan sejadah serta kain pelikat. Terima kasih kepada insan yang sudi menyumbang. Saudara Syukri dan Kak Ira mengingatkan kepada kami tentang misi ziarah hari ini iaitu solat. Kami rangkumkan misi ini dengan cara berwudhuk dengan betul dan kedudukan anggota badan ketika solat. Untuk team ziarah kami , saudara Tawfiq menjadi model wudhuk kami. 4 buah rumah kami bertandang, 4 kali la Tawfiq berwuduk. Hendak tergelak pun ada. Tetapi demi menyampaikan mesej kami, beliau dengan senang hatinya menawarkan diri untuk dijadikan model contoh. Terima kasih Abe Tawfiq ! Setelah cara-cara berwudhuk ditunjukkan, kami mempelawa mereka untuk mempraktikkanya. Alhamdulillah semua keluarga angkat kami sudi memberi  kerjasama. Namun bukanlah kuantiti menjadi taruhan, akan tetapi kualiti menjadi matlamat. Moga mereka istiqamah. Dan moga team ziarah kita semua perolehi sedikit pantulan pahala daripada misi kita ini untuk dibuat bekal kelak. Ameen.

Pada sebelah petangnya, badan terasa begitu penat. Ingin sahaja pergi merehatkan diri. Namun alangkah ruginya jika mengasingkan diri daripada penduduk Kg. Leryar ini. Mengingatkan kembali bacaan tilawah saya masih lagi berbaki beberapa helai, lantas tangan mencapai tafsir berwarna merah jambu di surau. Saya duduk bersila di atas jalan berturap di antara surau dan balairaya bersama sahabat saya, Izzati.  Seorang demi  seorang adik-adik saya datang duduk bersila dihadapan kami. Melihatkan mereka, saya menghabiskan bacaan terakhir. Saya menutup kitab tafsir saya. Saya merenung setiap mata yang hadir di hadapan saya. Terasa sayu. Kami bersama-sama membaca juz amma. Bacaan mereka boleh dikategorikan lancar untuk tahap umur seperti mereka. No doubt.  Selesai membaca kedengaran suara lantang daripada sisi kiri saya,
"kakak, tahun depan datang lagi ya. Ajarkan kami baca Al quran. Kami pun mahu pandai baca al quran”.
Saya dan Izzati terdiam. Bagaikan terkunci kata-kata. Tidak mampu saya memberi sebarang respon kepada adik itu yang berumur 14 tahun itu. Perasaan sedih  dan simpati silih berganti menempa pintu hati ini. Mereka ada keinginan untuk belajar Al quran, tetapi saya tidak tahu dimana silapnya dan apakah puncanya. Adakah ibubapa mereka?  Adakah guru-guru mereka? Adakah ustaz-ustaz yang berkhidmat untuk mereka? Atau apakah salah kita sebagai saudara seIslam mereka?  Bagai tidak layak untuk menunding jari kepada sesiapa. Langkah terbaik adalah bersangka baik.

Pada sebelah malamnya, kami ber'cultural night' bersama-sama. Nasi ayam buatan team catering menjadi santapan. Kehadiran hampir semua penduduk Kg Leryar memeriahkan lagi  suasana pada malam terakhir kami.


‘‘Senyumlah abe. Senyumlah amek. Senyumlah semua.’’

Post mortem dan al Mulk menjadi agenda penutup kami buat malam terakhir ini.

Senyum seindah suria :)

23/10/12 (Selasa)

Hari terakhir. Rasa bagai tidak mahu melepaskan pagi ini berlalu begitu sahaja. Kelihatan adikadik yang saya kira sudah mencapai umurnya  untuk ke sekolah, tetapi masih lagi dengan baju harian mereka. Tidak menampakkan tanda2 mereka ingin pergi ke sekolah. Lantas saya menyapa mereka.

"Kenapa tak pergi ke sekolah hari ini?”
“Kami mahu tengok kakak-kakak dan abang-abang balik”

Rasa bagai terjerat di dalam 2 situasi. Marah dan terharu. Marah kerana mereka tidak pergi ke sekolah untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu. Terharu kerana kehadiran kami rupa-rupanya memberi kesan kepada mereka.

Lamunan saya terhenti. Pada hari terakhir ini,masih ada ruang peluang buat kami untuk berbakti kepada
penduduk Kg Leryar .Team DnI yang bergerak sebagai nadi utama program kami , mengarahkan kami supaya membuat kesimpulan daripada ketiga-tiga ziarah sebelum ini. Kami akan mengadakan ziarah wida’. Saya fikir, haruslah ada strateginya untuk membuat kesimpulan yang simple tetapi  sarat dengan mesej. Sepanjang perjalanan kami ke rumah keluarga angkat, otak saya ligat memikirkan bagaimana mahu membuat kesimpulan yang mudah dan sesuai dengan tahap kefahaman mereka. Dalam diam saya berdoa, moga Allah mempermudahkan urusan team kita semua.

Perjalanan ke rumah keluarga angkat diteruskan.

Sepanjang ziarah yang team kami lakukan, hanya sebuah rumah yang tidak dapat kami masuk, iaitu rumah bernombor 17. Puas diketuk. Puas diberi salam. Namun tiada jawapan. Saya cuba untuk bersangka baik. Tuan rumah pergi ketempat  kerja agaknya. Siapa kata kami berputus asa. Untuk kesekian kalinya, kami masih lagi mencuba untuk menemui tuan rumah ini.  Alhamdulillah , pada kali ini abe ada di rumah. Kami dipelawa masuk. Tidak putus-putus saya memanjat kesyukuran. Memang benarlah tekaan kami, hari-hari sebelum ini, abe tiada di rumah kerana masuk ke dalam hutan untuk mencari hasil hutan. Kak Su memulakan bicara. Kami tidak tahu dimanakah tahap kefahaman abe ini tentang islam. Saya hanya menjadi pemerhati perbualan di antara Kak su dengan aba. Aba tersebut begitu bersemangat menceritakan kepada kami tentang hasil hutan yang diperolehinya itu. Dua benda asing berada di hadapan mata kami. Satu, daun yang berbentuk serangga.  Berwarna hijau. Ia dijual dengan harga RM 20 sehelai. Saya ulangi RM 20 SEHELAI. Mengikut aba, daun ini digunakan untuk membuat benang baju. Dan satu lagi, serangga yang berbentuk  seperti gitar kapak. Subhanallah. Saya sendiri kagum dengan ciptaan Allah ini. Melihatkan aba ini begitu hampir dengan alam sekitar, saya cuba mencari cara bagaimana mahu mengaitkan antara alam sekitar dengan islam. K.Su sudah mencuit saya agar memulakan perbualan.

“Ciptaan Allah”

Dengan tidak semena ayat ini terpacul di fikiran lalu di ekpreskan melalui nada suara. Allah sedang membantu saya. Saya sedikit tersenyum. Terima kasih Allah!. Saya sedaya upaya menyusun ayat agar perkaitan antara ciptaan Allah dengan kami sebagai islam terjalin. Setelah kami sedikit selesa dengan topik perbualan ini, saya cuba memasukkan unsur rukun Islam. Kali ini, saya sekali lagi kagum. Mana mungkin tidak, abe ini mampu melafazkan syahadah berserta maksudnya sekali. Kerja kami lebih mudah selepas ini, detik saya. 

Masuk bab solat.

Menurutnya beliau pernah menjadi iman sebanyak 3 kali untuk satu waktu itu. Ini kerana, selepas memberi salam untuk solat yang pertama, masih ada penduduk kampung yang masih belum lagi mengerjakan solat.  Dia dipelawa  supaya mejadi imam kerana mereka tidak mampu untuk menjadi imam. Dia menurutinya. Usai salam untuk solat kali keduanya, perkara sama berlaku. Kami sedikit tergelak.

Pada hemat kami, abe ini ada potensi untuk menjadi daei dikalangan penduduk Leyar. Beberapa kali kami menyatakan harapan kami kepada abe agar abe ini menjadi contoh tauladan kepada penduduk yang lain. Beliau hanya tersenyum. Cuba memahami hasrat kami barangkali. Susun bicaranya juga nampak sangat tersusun dan berhati-hati. Menurutnya, dia pernah belajar di Kolej Kemahiran di Kuantan. Kolejnya bersebelahan dengan maahad.  Katanya, selain belajar kemahiran, dia juga pergi menuntut ilmu di maahad tersebut. Tidak hairanlah kenapa beliau begitu berilmu.

Tanpa dipinta, dia menceritan detik pengislamannya. Ianya berlaku belasan tahun dahulu. Hatinya diketuk rasa tenang apabila mendengar suara azan berkumandang, laungan takbir raya dialunkan serta bacaan ayat suci al-quran. Subhanaallah! Alangkah beruntungnya abe ini.

Cerita lain menyusul. Abe ini menceritakan kepada kami pengalamannya  dengan orang Melayu.
Pada suatu hari, rakan Melayunya memintanya supaya  membeli arak.

‘’Awak Islam, kan?” Tanya abe.
“Ya, saya Islam”.
“Kita sebagai umat Islam diharamkan daripada meminum air ini’’

Apa kata anda? Saya yang berada di hadapan abe ketika itu terasa begitu malu. Malu dengan sikap kita yang kononya sudah Islam sejak lahir jika dibandingkan dengan abe, si orang asli yang baru mengenal  apa itu Islam. Benarlah, permulaan itu tidak menjanjikan apa-apa. Pengakhiran hidup menjadi isunya.

Begitu banyak cerita yang dikongsikan kami. Tidak sedar setengah jam sudah berlari meninggalkan kami di belakang. Kami meminta diri untuk ke rumah seterusnya.

Kami akhiri ziarah wida’ kami. Memandangkan azan Zohor sedang berkumandang, kami sempat mengajak Jajak ke surau. Tiada alasan diberikan.

Sesi bergambar berlangsung dengan pelbagai aksi.  Pada pukul 2.30 petang, bas meluncur di atas jalan. Suasana di dalam bas agak suram apabila mengenangkan kami tidak dapat ke Cameron Highland. Namun salah seorang sahabat kami iaitu Kak Mira cuba merasionalkan keadaan.

“Mungkin ada hikmahnya kita tidak dapat ke Cameron Highland”

Hati sedikit terubat.

“Kita masih ada kegembiraan lagi selain ke Cameron Highland iaitu khatam Alquran”. Kata saudara Syukri EE selaku ketua DnI. Mungkin ini pengalaman pertama kali buat saya dan sahabat lain apabila melakukan majlis khatam Alquran di dalam bas. Tidak perlu pulut kuning. Tidak perlu pakaian yang cantik. Itu adat. Adat!

Alhamdulillah, pada saat jarum jam bas menunjukkan ke arah angka 11.40 malam, kami selamat tiba ke destinasi. Yuaia!

Post mortem melambai-lambai kami selepas cuti hari raya qurban.




Daun yang digunakan untuk membuat benang baju.

Serangga yang berbentuk seperti gitar kapok.

0 comments:

Post a Comment