Thursday, 8 March 2012

Siri 3 : Travelog Orang Asli Mahabbah Programme (OAMP) II

Posted by Faciteam on 00:46 with No comments
22/7/2011

Pagi ini kami bangkit seawal jam 5. Peserta lelaki yang sedang lena tidur dikejutkan dengan kehadiran peserta perempuan yang hadir ke surau untuk qiyamullail. Mulanya agak liat untuk bangun.
Sekali dengar ada suara ‘sister’ di pintu, terus bangkit macam jumpa warden asrama.


Kesejukan air pagi itu benar-benar menguji ketahanan kami ketika mengambil wudhuk. Qiyamullail malam itu diketuai oleh saudara Ihsan. Qiyamullail kami hanya dihadiri oleh peserta OAMP sahaja dan tidak disertai oleh penduduk Kampung Leryar memandangkan kami tidak memaklumkan mereka tentang qiyamullail ini.

Solat subuh pagi itu disusuli dengan tazkirah subuh oleh saudara Arif Alwan yakni penulis sendiri. Penulis cuba sedaya upaya memudahkan input yang diberikan supaya mudah difahami oleh penduduk kampung yang hadir juga peserta OAMP. Namun, kekurangan persediaan mungkin input pagi itu ibarat ubat tidur. Ramai ‘mengangguk-angguk’ yang tidak bermakna faham.

RIADAH PAGI

Pagi itu kami melihat penduduk Kampung Leryar keluar seawal pagi untuk bekerja. Adik-adik Kampung Leryar dengan seragam putih sekolah bersemangat membonceng motosikal bapa ke sekolah. Pagi itu adalah waktu sejuk yang meriah.

Apabila rata-rata penduduk sudah meninggalkan kampung masing-masing, suasana meriah di Kampung Leryar diambil alih oleh keriuhan kami beriadah pagi itu. Aktivitinya adalah bermain ‘rounders’ bagi peserta lelaki dan bermain tuju selipar bagi pihak perempuan (selepas usaha bermain rounders bersama peserta lelaki tidak dilayan). Permainan kami semasa zaman kanak-kanak kami dimainkan semula pagi itu. Abg Irwan paling kental pagi itu, kebanyakan pukulannya kena pada bola, namun bolanya tidak bergerak ke depan tetapi bergerak ke belakang, kena berlatih banyak kali dengan Iphone nampaknya. Pagi itu bukan sahaja sejuk dan meriah, malah  ia juga nostalgik.

Penat bermain, sekali lagi pihak katering menghidangkan kami dengan makanan yang menyelerakan, nasi goreng cina ditambah dengan ikan bilis garing dan telur dadar. Seperti biasa adik-adik sentiasa ingin menemani kami makan.

Selepas makan kami ada setengah jam untuk mempersiapkan diri sebelum turun untuk agenda yang seterusnya, aktiviti ziarah pada jam 9.30 pagi.
Untuk aktiviti ziarah kami dibahagikan kepada 10 kumpulan yang terdiri dari 3 atau 4 peserta lelaki dan perempuan. Setiap kumpulan diagihkan rumah untuk dilawati dan setiap kumpulan mendapat 4 rumah untuk dikunjungi dan hanya 2 kumpulan diminta melawat 5 rumah dari 42 rumah yang ada di Kampung Leryar.

Setiap kumpulan dibenarkan untuk menyusun strategi sendiri dalam urusan ziarah mereka. Ada yang memilih untuk menghabiskan ke semua rumah pagi ini juga dan ada juga yang memilih untuk menziarahi separuh rumah pada waktu pagi dan menghabiskan sebahagiannya pada waktu petang. Namun, objektif yang ingin dicapai pada ziarah yang pertama harus dilaksanakan iaitu untuk bertaaruf dan berkenal-kenalan. Diharap selepas selesai berkenal-kenalan pada ziarah yang pertama mampu membantu kita mencapai objektif ziarah yang kedua iaitu untuk memberikan input atau ilmu berkenaan Islam kepada mereka. Setiap kumpulan di minta menamatkan ziarah jam 12 untuk memberi ruang kepada peserta lelaki untuk bersiap untuk menunaikan solat Jumaat.


ZIARAH

Pertemuan dengan Abang Safwan sebelum ini, beliau ada mengajar tiga ‘point’ penting dalam membuat analisis. Yang pertama, bina hipotesis, yang kedua, uji hipotesis dan yang ketiga, buat kesimpulan. Benda ini boleh juga dibuat semasa berprogram dengan sekolah, contoh, hipotesisnya adik-adik sekolah ni ramai yang tidak solat sebab sekolah di bandar. Kemudian ujinya dengan bertanya soalan atau buat modul yang berkaitan dan sebagainya. Kemudian, kita akan dapat kesimpulan dari ujian tadi. InsyaAllah.

Untuk OAMP ni, saya cuba mengaplikasikannya. Ada beberapa hipotesis yang saya bina.  Salah satunya adalah mereka mungkin ada masalah memahami akidah namun mungkin lebih memahami bahagian fiqh. Yang kedua, mereka tidak terlepas dari kesan globalisasi dan mungkin hilang sebahagian gaya hidup tradisi mereka. Untuk mengujinya, saya memilih untuk bertanya semasa ziarah ini nanti.

Untuk kumpulan saya, dari empat rumah yang kami pergi, hanya tiga rumah yang majoriti penghuni atau keseluruhannya Islam. Ada satu rumah yang tidak memeluk Islam dan mereka kurang menyenangi kehadiran kami. Mereka tidak membenarkan kami masuk pun. Puas Azlan aka ‘meklan’ pujuk, tetapi tidak berhasil. Hanya perbualan dihadapan pintu yang kami mampu.

Dalam menguji hipotesis kedua yang saya nyatakan tadi, ada beberapa soalan tetap yang akan saya tanyakan di setiap rumah. Sebelum itu, kenapa saya terfikir untuk membuat hipotesis ni, sebab saya melihat keadaan Kampung Leryar yang bukan seperti kampung orang asli yang lain dan saya yakin akan ada kesan akhir yang bakal berlaku bila keadaan ini berubah. Antara soalan yang ditanya, “bilakah kali terakhir abe ke hutan”, “kenapa sekarang tidak ke hutan lagi”, “ada bawak anak ke hutan tak”, “mana lagi seronok, hidup di rumah ni atau rumah yang lama” dan beberapa lagi soalan sampingan yang berkaitan. Mengapa saya memilih persoalan masuk ke hutan? Kerana ini adalah salah satu tradisi kehidupan mereka yang harus kita cemburui, kehebatan mereka merempuh hutan.

Kebanyakan mereka sudah lama tidak ke hutan dengan alasan malas dan menyusahkan, ada yang memberi alasan sejak duduk rumah baru ni keinginan ke hutan sudah berkurang. Bagi belia berusia 30 an yang sudah berkahwin, mereka pernah ada pengalaman masuk ke hutan ketika kecil bila diajak ayah masing-masing, namun mereka tidak pula mengajarkan kepada anak-anak mereka kini. Kalian boleh fikir sendiri kesannya bukan. Rugi. Hilang ilmu masuk hutan dikalangan mereka. Kalau ada orang yang sesat di hutan, dan bomba atau polis buntu dalam mencari, mereka meminta bantuan orang asli untuk mencari. Lagi satu, seni membuat rumah dari buluh juga bakal hilang. Dalam sosiologi, istilah inggerisnya kita panggil, ‘monoculture’, iaitu hanya satu budaya sahaja diterapkan dan tidak membenarkan budaya-budaya lain hidup. Banyak benda sebenarnya untuk diterangkan disebalik ‘monoculture’ ni, ‘homework’ untuk kalian.

Ada sesuatu yang menarik lagi. Bapa-bapa atau abe-abe yang pernah bersekolah dulu mempunyai pandangan yang lebih baik tentang menuntut ilmu. Kata seorang abe (saya dah lupa nama), “saya akan pastikan yang anak saya nanti sekolah pandai-pandai macam adik-adik.  Jangan jadi macam saya yang berhenti sekolah tapi takda orang marah.” Beliau tidak pernah dipaksa ke sekolah, mungkin kerana keadaan keluarga ketika itu yang tidak memandang tinggi kepentingan sekolah. “Kita ni kalau takde ilmu, senang kena tipu dengan orang luar,” jelas abang Wira salah sorang belia Kampung Leryar yang berjaya, kini belajar pengurusan Islam di Kuantan.
Untuk hipotesis pertama berkenaan kefahaman tentang akidah dan fiqh. Saya belum sempat mengujinya. Mungkin untuk ziarah kedua.

SOLAT JUMAAT

Untuk pergerakan peserta lelaki ke solat Jumaat, hanya ada satu kenderaan sahaja yang boleh membawa ke semua peserta lelaki ke masjid iaitu kereta waja Bro. Syafiq. Masjid yang dipilih adalah masjid Kampung Boh, kampung yang sama kami mengambil khemah semalam. Sebanyak 3 kali ‘trip’ diperlukan untuk membawa kami semua dengan sekali ‘trip’ 7 orang. ‘Trip’ pertama bergerak jam 12.40 tengah hari. Semasa pulang dari menghantar ‘trip’ yang pertama dan bersedia untuk mengambil ‘trip’ yang kedua, ada berita kurang baik yang dibawa Bro. Syafiq, “jalan pergi sana susah sangat, sekali jalan pun 25 minit. Yang ni ‘last trip’ ye aku amek,”ulasnya. Ada lebih kurang 14 orang yang mendengar kata-kata itu, bermakna ada yang kena tinggal. Yang telah menunggu lama diberikan kelebihan untuk pergi. Yang lain pulang ke surau.

Semasa solat Jumaat, peserta perempuan mengambil peluang untuk makan tengah hari bersama adik-adik. Pelawaan peserta perempuan untuk makan bersama peserta lelaki yang ‘gagal’ bersolat Jumaat terpaksa ditolak atas dasar ukhuwah dan mahu makan tengah hari bersama peserta lain yang bersolat Jumaat.

Peserta lelaki yang tidak bersolat Jumaat berusaha memenuhi waktu yang ada dengan membuat aktiviti bersama adik-adik. Selepas solat zohor, kami mengambil peluang mengajarkan iqra’ kepada adik-adik.

AJAR IQRA’

Ada yang menarik ketika mengajar iqra’ ni. Saya betul-betul diuji ketika mengajar mereka. Betul, mereka benar-benar bersemangat untuk belajar tetapi saya yang harus tambahkan semangat saya untuk mengajar.

Di dalam surau ketika itu ada 6 orang kalau tidak silap, kami meminta adik-adik untuk mengambil iqra’. Mereka benar minat belajar. Tiga orang adik menyerbu saya
Dari tiga orang itu, ada seorang adik (saya lupa nama lagi) yang tahu membaca huruf jawi, namun tidak mengenal huruf. Adik-adik yang lain sudah mengenal huruf sikit-sikit, dia seorang yang menghadapi masalah dan saya memilih untuk fokus padanya dahulu. Benar-benar menguji kesabaran saya yang mengajar. Saya mulakan dengan dua huruf pertama, alif baris atas dan ba baris atas. Untuk dua huruf ini, saya mengambil keseluruhan sesi untuk mengajarnya. Dua lagi adik yang lain terpinggir dan lari dengan sendirinya kepada peserta yang lain. Sampai ke hujung sesi, adik ini masih keliru antara dua huruf ini. Dalam hati saya selepas tamat sesi petang tu. “ini ujian dan latihan. Latihan untuk kau bersabar ketika mengajar anak sendiri nanti.” Sesi ini ditamatkan selepas peserta yang bersolat jumaat pulang. Ada berita kurang baik dari mereka, tayar kereta waja tertusuk paku.

Selesai makan, untuk aktivti petang pula, kami menyambung sesi ziarah. Mana-mana yang telah selesai proses ziarahnya pada hari ini, mereka membantu pihak katering untuk menyediakan bubur kacang hijau untuk hidangan minum petang. Ada juga kumpulan yang membuat sesi ziarah untuk kali kedua.

SUKAN RAKYAT

Seperti yang dirancang, selepas solat asar kami menjalankan sukan rakyat. Untuk aktiviti sukan rakyat kami membahagikan kepada sukan untuk kanak-kanak dan dewasa.
Untuk kanak-kanak, sukan yang dilakukan lebih berbentuk sukaneka seperti isi air dalam botol menggunakan span, bawak belon guna perut dan tiup gula-gula dalam tepung. Untuk dewasa, pada mulanya agak sukar untuk menarik mereka bermain bersama-sama kami. Pada mulanya perancangannya untuk bermain ‘bola beracun’, namun abang-abang kampung leryar dilihat tidak berminat untuk bermain dan hanya ingin bermain bola sepak sahaja. Setelah membuat perbincangan ringkas, kami memilih untuk bermain ‘rounders’ seperti yang kami mainkan pada awal pagi tadi. Pemilihan kami tepat. Mereka agak selesa mendengar cadangan kami dan bermain bersungguh-sungguh.  Bagi saya objektif sukan rakyat untuk merapatkan hubungan dengan orang muda di sana tercapai dari aktiviti ini.

Petang itu, peserta lelaki terpecah kepada tiga, sebahagian bermain sukan rakyat, sebahagian pergi ke Ringlet untuk menukar tayar dan sebahagian lagi membasuh ayam untuk hidangan malam ini dan kenduri Mahabbah esok.

HELWANI - HELAKI

Banyak aktiviti yang cuba dilaksanakan pada hari ini terpaksa bertukar perancangan pada minit akhir. Begitu juga aktiviti HELWANI dan HELAKI, disebabkan kebanykakan penduduk terlalu penat untuk bersama-sama dalam program selapas Isyak, oleh itu kami terpaksa mengubahnya selepas maghrib dan bersambung sedikit selepas Isyak. Perbincangan HELAKI dan HELWANI lebih berkisar pada perbincangan tentang solat abang-abang dan kakak-kakak. Corak perbincangan ialah dengan membuat kumpulan-kumpulan kecil dan berbincang di dalam kumpulan.

GORENG AYAM

Malam itu makan malam kami sedikit lewat. 'Post mortem' malam itu pula sedikit ringkas memandangkan kami semua agak penat malam itu selepas seharian beraktiviti.. Di akhir ‘post mortem' pihak katering meminta bantuan peserta lain untuk membantu mereka menggoreng ayam untuk ‘kenduri mahabbah’ esok hari.

Ukhuwah erat peserta-peserta OAMP dipertontonkan malam itu. Begitu ramai yang sanggup turun membantu pihak katering walaupun masing-masing keletihan. Kawan-kawan yang bukan dalam biro katering meminta ‘kawan-kawan’ kateringnya berehat dan tidur setelah mereka seharian bertungkus-lumus menyiapkan juadah kami, dan di pihak katering pula mereka tidak sanggup tidur dan membiarkan kawan lain bekerja dan meminta kawan-kawan yang bukan dari katering untuk berehat supaya mereka boleh fokus untuk aktiviti esok. Akhirnya semua orang bekerja bersama-sama malam itu. Bunyi dengkuran pak cik Samsul umpama muzik yang tidur dalam khemah berdekatan tempat masak kami. Usikan Ezra Don dan Rushdi terhadap kak Imtinan ibarat ‘ubat elak tidur’ buat kami yang bekerja tengah malam itu. Hadiah untuk yang bekerja malam itu setelah selesai semuanya, kak Azizah membenarkan kami merasa sedikit ayam yang digoreng malam itu sebelum kami semua masuk tidur dalam jam 2.15 pagi.

"Ya Allah, kami tinggalkan mereka kepada mu Ya Allah. Peliharalah mereka. Tetapkan lah mereka di jalanMu Ya Allah. Tetapkan lah kami juga di jalan Mu Ya Allah

Sudah baca siri 1 dan 2?
Siri 1
Siri 2

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment