Saturday 30 March 2013

Rabu Gathering: Nasihat Luqman al-Hakim

Posted by Faciteam on 21:02 with No comments

Alhamdulillah, solat jama'ah di musolla kop masih diteruskan walaupun semasa sebahagian besar keluarga fcteam balik kampung. Menghadiri rabu gathering sewaktu pelajar semester bercuti, terasa seperti berada dalam usrah kecil. Teringat riuh-rendah ahli keluarga fcteam yang selalu kedengaran seusai membacakan al-Ma'thurat dan bagaimana akak-akak tua fasi mengajak adik-adik muslimah ke bahagian muslimin :).

Perbincangan pada kali tertumpu pada pesanan yang diberikan wali Allah, Luqman al-Hakim kepada anaknya. Al-Qur'an dan buku Tarbiyatul Aulad dijadikan 'alatan' dalam perjumpaan itu.


Sebelum bertadabbur ayat 12-19 dalam Surah Luqman, terlebih dahulu, kisah pembahagian harta rampasan Perang Hunain diketengahkan. Bagaimana hati golongan Ansar yang pada mulanya merasa kurang berpuas hati kerana tidak diberikan sebarang bahagian, dipujuk oleh Rasulullah SAW dengan pujian terhadap jasa-jasa mereka ketika penghijrahan dahulu. Berkata Rasulullah SAW kepada golongan Ansar:

“Ya, sungguh, demi Allah. Kalau kamu mau, tentu kamu masih dapat mengatakan — kamu benar dan pasti dibenarkan — “Engkau datang kepada kami didustakan orang, kamilah yang mempercayaimu, engkau ditinggalkan orang, kamilah yang menolongmu; engkau diusir, kamilah yang memberimu tempat; engkau dalam sengsara, kami yang menghiburmu.”

“Kamu marah, Saudara-saudara Ansar, hanya karena sekelumit harta dunia yang hendak kuberikan kepada orang-orang yang perlu diambil hatinya agar mereka sudi masuk Islam, sedang keislamanmu sudah dapat dipercaya. Tidakkah kamu rela Saudara-saudara Ansar, apabila orang-orang itu pergi membawa kambing, membawa unta, sedang kamu pulang membawa Rasulullah ke tempat kamu?

Demi Dia Yang memegang hidup Muhammad! Kalau tidak karena hijrah, tentu aku termasuk orang Ansar. Jika orang menempuh suatu jalan di celah gunung, dan Ansar menempuh jalan yang lain, niscaya aku akan menempuh jalan Ansar. Allahumma ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak Ansar dan cucu-cucu Ansar.”

Jadinya, memberi pujian juga sebenarnya boleh dijadikan sebagai satu "cara menasihati", tapi haruslah diingat ia haruslah berhikmah agar "pujian tidak menjadi sindirian". Dianjurkan juga supaya memuji pada "perbuatan dan bukan pembuat" agar perbuatan itu dilakukan dengan lebih elok lagi :). Misalnya, "macam inilah adik akak, rajin kemas katil..', bukannya, "rajin adik akak hari ni kemas katil.. ". "Mungkin pendekatan begini boleh digunakan dalam program yang akan datang."

Buku Tarbiyatul-Aulad diselak lagi, meneruskan perbincangan kepada intipati perjumpaan malam itu. Luqman al-Hakim...nasihatnya kepada si anak sangat cantik dan tersusun rapi. Bagaimana nasihat itu dimulakan dengan mengEsakan Allah dan kemudiaan bersyukur kepada ibu bapa dan dinasihatkan kembali agar meletakkan Allah dahulu dalam segala hal. "Allah berada dalam hierarki tertinggi dalam bersyukur" disimpulkan. Sifat-sifat Allah yang Maha Teliti dalam melihat kebaikan atau keburukan walaupun sebiji sawi memberi gambaran bahawa setiap amalan itu pasti tetap diberi penghisabannya. 

Beralih kepada ayat seterusnya, tentang keutamaan solat, amar ma'ruf nahi mungkar dan sabar. Solat, item yang paling dititiberatkan sebelum menghantar kader-kader keluar dari lapangan, berjumpa dengan ummah. Tanpa disipilin dan roh yang dididik dalam solat, amat sukar sekali bagi seseorang untuk mengajak kepada kebaikan dan melarang keburukan, apatah lagi untuk bersabar dengan karenah-karenah mad'u yang mungkin bukan sahaja menolak malah, memandang serong ajakan tersebut. Memulakan langkah menjadi seorang da'ie dengan latihan rohani yang diberikan dalam solat, insha Allah, diri akan lebih kental menghadapi cabaran di lapangan kelak...amiin...(dan mungkin kerana ini solat jama'ah mingguan keluarga fcteam dilakukan :) ).

Seterusnya, nasihat diberikan tentang cara bergaul dengan orang ramai, mungkin dalam konteks perbincangan kali ini adalah golongan mad'u. Buangkan perasaan sombong, perasaan bahawa diri lebih baik daripada orang lain. Perkara ini antara yang sukar dilakukan, kerana perasaan 'ujub dan riak itu seperti "semut yang hitam, di atas batu hitam berada di dalam kegelapan malam yang amat pekat", mempunyai satu garisan halus yang secara tidak sedar, ikhlas bertukar menjadi 'ujub.Pembawakan diri yang sederhana insha Allah mampu mengawal diri...sederhanakan cara jalanmu, lemah-lembutlah dalam berbicara. Jadikan diri ini mudah untuk didekati supaya mad'u tidak lari :). Bagi golongan aktivisme, jangan merasakan diri lebih elok daripada yang tidak bergerak...masing-masing mempunyai cara bagaimana mereka menabur bakti pada ummah. Yang penting ikhlaskan hati dalam setiap langkah yang dilalui. Hati-hati yang ikhlas, pasti akan bersatu, insha Allah. 

------------------------selesai diskusi---------------

--> nota buat diri: terjun dalam bidang aktivisme tidak meletakkan diri seseorang lebih baik daripada yang lain, malahan ia meletakkan seribu macam lagi tanggungjawab kepada golongan-golongan aktivisme ini untuk terus lebih bergerak. Banyak lagi ummah yang tak dicapai dan tercapai oleh diri, harap dengan usaha yang sedikit ini, mampu menjawab pertanyaan Ilahi..."muda hanya sekali, tetapi untuk menjadi muda kali kedua (di syurga), gunakanlah masa muda di dunia dengan sebaiknya".

Wallhua'alam. 

Oleh: Aina Nurliyana Abd Jabar

0 comments:

Post a Comment