Monday 18 March 2013

TANGGUNGJAWAB YANG TIDAK INGIN DIJAWAB [Al-Fussilat, 26 & 29]

Posted by Faciteam on 01:51 with No comments

“Buatlah bising apabila Quran dibacakan, dan janganlah kamu dengar!” kata kafir ahli kitab itu. Marah dengan bacaan Al Quran, lebih baik dia memekakkan telinganya. Baginya tidak apa yang lebih membingitkan daripada suara Al Quran dibacakan.

Al  Quran itu, sesuatu yang agung. Kalamnya hebat, kandungannya berat. Mukjizat terakhir yang diturunkan ke atas umat manusia, kehebatannya bisa menghancurkan gunung.

Tanggungjawab terhadap Al-Quran ialah satu tanggungjawab yang berat.


Oleh kerana itu, ahli kitab itu mengambil keputusan untuk tidak mendengarnya. Masakan tidak, Tuhan membicarakan tentang mereka di dalam Al-Quran, menceritakan tentang umat-umat terdahulu yang lebih awal lagi dibinasakan, menuntut ahli kitab untuk kembali kepada tauhid yang satu. Ahli kitab merasakan Al Quran ini sesuatu yang berat, maka mereka tidak mahu bertanggungjawab.


Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!"


Lalu, apakah yang berlaku setelah mereka mengambil keputusan untuk memekakkan telinga dan mengabaikan amanat Tuhan?


Manusia, Ingin Mengabaikan Diri Dari Tanggungjawab


Manusia tidak suka bertanggungjawab. Tidak suka dengan amanah. Tidak suka dengan perkara-perkara yang serius. Kita lebih suka berseronok. Sebahagian manusia memilih untuk melakukan perzinaan, tetapi tidak mahu bertanggungjawab dengan sebuah pernikahan.

Kita mahu hidup dengan mudah, ambil mudah dalam setiap perkara.

Sehingga apabila kita melakukan kesalahan pun, kita masih tidak mahu bertanggungjawab dan memalingkan kesalahan itu kepada orang lain.

“Aku jadi teruk macam ni sebab mak ayah aku la tak didik aku betul-betul.”
“Mak aku tak pakai tudung, sebab tu aku pun tak pakailah tudung.”
“Keluarga saya tak ada seorang pun yang solat Ustaz. Macam mana saya nak solat?”
“Aku berzina ni sebab negara la tak buat hudud! Kalau buat hudud mesti aku tak berzina. Ni semua salah penguasa yang menolak hukuman Tuhan.”

Sangat mudah untuk berbicara.

Hatta apabila tiba masa untuk diseksa oleh Tuhan, kita masih menyalahkan orang lain. Dengan ini Allah berfirman,


Dan orang-orang yang kafir berkata: "Wahai Tuhan kami! Perlihatkanlah kepada kami dua golongan yang telah menyesatkan kami dari jin dan manusia, untuk kami meletakkan mereka di bawah tapak kaki kami, supaya mereka menjadi golongan yang terkebawah dalam kehinaan".

Orang-orang  yang berada di dalam neraka itu, dengan sombongnya masih meminta kepada Tuhan, supaya menunjukkan kepada mereka siapa yang telah menyesatkan mereka. Mereka meminta supaya ditunjukkan kepada mereka ibu bapa yang tidak mengajar mereka agama, rakan-rakan yang mengajak mereka berbuat maksiat, dan kerajaan yang tidak melaksanakan hudud untuk mereka. Mereka akan menyalahkan setiap inci perkara yang berada di dunia pun, mereka tetap tidak ingin mengaku bahawa, “Ini Salah Aku!”

Ini semua berpunca oleh sikap mereka yang tidak ingin bertanggungjawab. Tidak bertanggungjawab dengan apa? Dengan Al Quran, dengan Allah dan RasulNya.

Saya masih teringat beberapa tahun lalu, ketika masih di Tingkatan 5. Kami semua menjawab soalan percubaan untuk peperiksaan SPM.

Usai peperiksaan, pelajar-pelajar lelaki semua berebut untuk menyusun semula meja masing-masing. DI sebelah kanan dewan, terdapat bilik kosong sebagai tempat untuk menyimpan meja peperiksaan. Bilik tersebut bersaiz sederhana, dan meja-meja perlulah disusun secara bertingkat-tingkat agar muat untuk semua meja disusun. Setelah siap menyusun meja, kami pun keluar daripada dewan tersebut.

Dalam hati saya berfikir, “Kalau semua pelajar lelaki yang susun meja di bahagian bawah, macam mana pelajar perempuan nak susun meja? Takkanlah pelajar perempuan nak panjat tinggi-tinggi untuk susun meja?”

Saya tidak sedap hati. Dibuatnya terjatuh anak-anak dara tu masa susun meja, siapa yang susah?

Saya kembali ke bilik meja, ramai perempuan sedang beratur untuk menyusun meja. Ada dua orang yang memanjat meja di lapisan bawah meja untuk menyusun meja di tingkat atas.

Malu saya melihat keadaan macam itu. Tidak gentleman langsung lelaki ini.

Saya pun meminta dua orang pelajar perempuan yang berdiri di atas meja untuk turun, dan menawarkan diri untuk menyusun meja-meja tersebut di tingkat atas, yang berjumlah 67 buah meja semuanya.

Memang memenatkan. Dalam hati, mahu saja menyumpah pelajar-pelajar lelaki yang bertempiaran keluar dewan tanpa memikirkan kemaslahatan pelajar perempuan.

Setelah 5 minit, saya ternampak sahabat karib saya Anuarul Hakim Abdul Muen di pintu masuk bilik meja tersebut. Dia tersenyum, saya pun tersenyum.
“Aku dah agak, mesti kau ada dalam dewan ni lagi. Perangai kau ni memang tak berubah. Apa yang orang tak buat, mesti kau buat.”
“Kau pun tak berubah, mesti kau akan ada untuk tolong aku bila masa-masa macam ni datang.”
Kami tertawa. Saya berasa sangat terharu dengan Anuarul. Semoga kami Allah memelihara dia di dunia dan di akhirat, Amin.

Mengambil Tanggungjawab

Dalam dunia ini, amat sedikit orang yang ingin cakna dan kisah tentang agama mereka. Agama ini tidak menguntungkan material. Tidak menjadi kaya raya dengan berusaha membuat kerja dakwah. Bahkan mungkin sekali menjadi semakin miskin disebabkan perlunya menginfaqkan harta ke jalan Tuhan.

Manusia berebut untuk mengambil amanah, apabila amanah itu menguntungkan dirinya. Nak mengambil amanah sebagai pegawai bank, sebagai perdana menteri, manusia bermatian untuk merebut jawatan dan amanah, asalkan jawatan itu memberikan keuntungan.

Jawatan sebagai dai’e?

Jauh sekali.

Akhirnya jadilah kita seperti orang kafir yang tidak mahu bertanggungjawab terhadap isi kandungan Al Quran, mereka dicampakkan ke dalam neraka. Nau’zubillahi min zalik.

Oleh: Faizin Shamsuddin

0 comments:

Post a Comment