Bagi mengejar cita-cita Khilafah Islamiah, ianya terhasil dengan
adanya generasi Rabbani. Mendidik generasi kenal Tuhan ini seharusnya bermula
dari individu, keluarga dan seterusnya menyebar luas ke dalam masyarakat. Hasil
daripada masyarakat praktis islam terbinalah negara islam. Untuk mencapai semua
itu,kita perlu bermula dari bawah.
Peranan individu yang faham islam sangat penting dalam pembentukan
keluarga islam. Didikan ibu bapa sangat berpengaruh dalam penbentukan dan
tingkah-laku anak-anak. Anak-anak ibarat kain putih. Ibu bapalah yang
mencorakkannya samada corak itu cantik sedap dipandang atau sebaliknya.
Tujuan pendidikan untuk
melahirkan manusia yang baik iaitu manusia yang baik akhlaknya. Salah satu cara
mendidik anak yang boleh dicontohi ialah seperti yang diturunkan Allah dalam Surah
Luqman ayat 13-19 iaitu mengenai nasihat Luqman al-Hakim kepada anak-anaknya.
13. “Dan
(ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya semasa memberi nasihat
kepadanya: Wahai anakku! Janganlah engkau sekutukan Allah, sesungguhnya syirik
itu adalah satu kezaliman yang amat besar.”
Luqman Al-Hakim memulakan menasihati
anaknya supaya jangan menyukutukan Allah dan jauhi syirik. Syirik adalah
sesuatu kezaliman yang besar. Kenapa dikatakan zalim? Kerana zalim bermaksud
tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Sama seperti syirik iaitu tidak
meletakkan Allah di tempat sepatutnya . Perbuatan syirik itu dosa yang tidak
dapat diampun seperti yang di tegaskan dalam firman Allah ayat 48, surah
al-Nissa' :
“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni
dosa syirik dan dia mengampuni segala dosa yang selain daripada itu…”
Dua ayat seterusnya iaitu,
Luqman al-Hakim juga menyarankan supaya berbuat baik kepada ibu bapa selagi
mereka mengikut syariat Islam. Hal ini kerana ibu bapa adalah orang yang paling
banyak berkorban dalam hidup kita terutamanya ibu yang sanggup mengandung selama
9 bulan dibawa ke sana kemari dan
menyusukan kita untuk terus hidup. Jasa
pengorbanan Ibu bapa tidak dapat diganti dengan lainnya.
14. “Dan
Kami telah perintahkan manusia supaya berbakti kepada dua orang tuanya. Dia
telah dikandung ibunya yang mengalami kelemahan demi kelemahan dan masa lepas
susunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua ibu bapa engkau
dan kepada-Ku tempat
kembali.”
15. “Dan jika mereka berdua mendesak engkau supaya
mempersekutukan-Ku dengan sesuatu yang engkau tidak mengetahui, maka janganlah
engkau ta’atkan kedua-duanya dan sahabatilah kedua mereka dengan baik di dunia
ini, dan ikutilah jalan orang-orang yang kembali kepada-Ku, kemudian
kepada-Kulah tempat kembali kamu dan Aku akan memberitahu kepada kamu segala
perbuatan yang telah dilakukan kamu.”
Di ayat 14 dan 15 ini, Luqman juga mengatakan Allah adalah tempat
kembali. Ayat ini menunjukkan bahawa walaupun ibu bapa harus ditaati tetapi
yang lebih utama adalah Allah. Bersyukur kepada Allah kerana Allah pemberi
segala nikmat.
16. “Wahai
anakku! Sesungguhnya jika sesuatu amalan itu hanya seberat biji sawi dan
sekalipun ia tersembunyi dalam batu atau berada di laut atau di bumi nescaya
Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah Maha Halus dan Maha Pakar.”
Di ayat ini, Luqman Al-hakim menasihati agar berhati-hati dengan
tindak tanduk samada yang zahir atau tersenbunyi. Hal ini kerana walau sebiji
sawi kebaikan atau kejahatan yang dilakukan pasti Allah akan membalasnya. Niat
untuk membuat sesuatu perlu sentiasa diperbaharui, sesungguhnya hati manusia
sentiasa berbolak balik.
17. “Wahai
anakku! Dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat kebaikan dan larangkan
mereka berbuat kemungkaran dan sabarlah di atas kesusahan yang menimpa engkau.
Sesungguhnya yang sedemikian itu termasuk perkara yang penting.”
Ayat ini dimulakan dengan dirikan
solat kerana solat adalah tiang agama dan boleh mencegah perkara mungkar. Seperti
yang diterangkan dalam surah al-Ankabut ayat 45:
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari
perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah s.w.t. (solat)
adalah lebih besar (keutaannya dari ibadat-ibadat yang lain).”
Sebelum menyaran orang lain berbuat
baik dan meninggalkan yang mungkar, akhlak kita perlu dididik dengan solat
terlebih dahulu. Sebelum turun dakwah kepada orang lain asas agama perlu diperkukuh
dalam diri dahulu. Agak sukar untuk meneruskan sunah Rasulullah yang terbesar
iaitu dakwah jika tiang agama dalam diri tidak kukuh. Tambahan lagi, Luqman
al-Hakim turut perpesan tentang kesabaran. Dalam mengerjakan amar maaruf nahi
mungkar yang pasti banyak ujiannya. Dengan itu Luqman menyaran agar bersabar
dalam mengharung kesusahan dan kepayahan dijalan ini dan melakukannya dengan
penuh keazaman.
18. “Dan
janganlah engkau memalingkan wajah engkau dari manusia (kerana takbur) dan
janganlah engkau berjalan di bumi dengan lagak yang angkuh. Sesungguhnya Allah
tidak sukakan sekalian orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”
19. “Dan
sederhanakanlah dalam gaya perjalananmu dan rendahkan suaramu. Sesungguhnya
suara yang paling buruk ialah suara keldai.”
Di akhirnya, pelakuan sombong, takbur dan bangga diri adalah sifat
yang Allah tidak suka. Kita juga disarankan berjalan dengan sederhana dan
merendahkan suara. Ayat ini berkait dengan ayat sebelumnya iaitu tatacara dalam
berdakwah iaitu adab dalam berdakwah. Sifat membandingkan diri dan memandang
rendah orang lain akan menimbul sifat takbur dan bangga diri. Kita juga tidak
tahu amalan yang mana akan diterima Allah. Berhati-hati dalam tingkah laku, takut-takut
kita tergelincir di jalan yang pasti beronak duri ini. Berkejar-kejarlah dalam
membuat kebaikan dan memberi manfaat kepada orang lain tanpa sifat sombong diri.
Dalam menyebarkan keindahan islam pada orang lain, bertindaklah secara berhikmah
supaya islam mudah diterima.
Jika dilihat dari ayat 13 – 19 ini, Luqman al-Hakim memulakan
wasiat ini dengan hubungan dengan Allah, seterusnya hubungan dengan ibu bapa
dan akhir sekali hubungan dengan orang lain. Ini menujukkan hubungan dengan
Allah perlu dijaga terlebih dahulu. Seterusnya menjaga hubungan dengan ibu bapa
dah barulah dengan orang lain. Aliran ayat ini sangat cantik dan boleh
dicontohi ketika membentuk objektif program.
Nasihat-nasihat ini harus disampaikan kepada anak-anak agar
menjadi pegangan. Kita yang sememangnya seorang anak harus mengikuti nasihat
ini. Kebiasaannya, ibu bapa akan bermula didikan ini sejak kecil dan cara
terbaik adalah menunjukkan tauladan. Anak-anak akan lebih terpegaruh untuk membuat
sesuatu apabila ibu bapa sendiri buat apa yang diperkatakan. Alhamdulillah saya
dibesarkan dalam keluarga yang faham agama. Emak dan abah sentiasa menujukkan
contoh terbaik kepada anak-anaknya. Cara
mereka melayan atuk nenek, cara mereka mendidik kami adik beradik, cara mereka
bergaul dalam masyarakat adalah antara perkara yang dipandang anak-anak. Agak
sukar untuk kami 9 orang adik beradik yang kebanyakkannya sudah punyai kerjaya
masing-masing, sudah berkahwin dan mempunyai anak untuk kumpul bersama. Emak
abah akan mengambil kesempatan membuat usrah bersama apabila kami semua berada dirumah. Wasiat Luqman al-Hakim ini juga pernah
menjadi salah satu pengisian yang dibentang abah ketika didalam usrah tidak
lama dahulu. Walaupun anak-anak sudah besar, abah tetap menyampaikan
tanggungjawabnya. Ini menunjukkan bahawa mendidik anak-anak bukan hanya diwaktu
kecil sahaja, malah perlu diteruskan walaupun anak-anak sudah punyai anak
sendiri.
Jika melihat situasi masyarakat sekarang, hasil daripada bertemu
adik-adik sekolah ketika berprogram, pelbagai masalah sosial yang mereka
dihadapi. Ini jelas menunjukkan generasi Rabbani perlu dibentuk. Siapa yang
membentuknya? Adakah kita hanya melihat sahaja tembok dibina atau kita sendiri
yang meletakkan batu bata untuk membina tembok?
Setiap apa-apa yang
diperkatakan pasti ada sahaja ujian yang menunggu. Semoga saya tabah hadapi
ujian yang mendatang dan agar usaha kecil perkongsian ini memberi manfaat
kepada orang lain.
Wallahu ‘alam
Oleh: Kamilatunnisak Ateman
Rujukan:
Sayyid Qutb Rahimullah. 2000. Tafsir
Fi Zilalil Qur’an. Ter. : Yusoff Zaky Hj
Yacob. Kota Bharu : Pustaka Aman Press.
0 comments:
Post a Comment