Friday 15 March 2013

SURAH AL-IKHLAS ; MENYEMPURNAKAN KONSEP TAUHID

Posted by Faciteam on 02:36 with No comments


Manusia itu memang fitrahnya mencari-cari ‘Tuhan’. Wujudnya tuhan matahari bila melihat hebatnya matahari memancar cerah dari atas. Kemudian, merasakan lemahnya matahari ketika malam, mulalah mereka mengalihkan sembahan pada bulan. Hadirnya, hujan dari atas, membasahkan bumi, menyuburkan tanaman, timbul rasa terhutang budi pada hujan, maka disembahnya juga hujan ini.

Selesai mendongak ke langit, manusia mula mengembara mellihat alam sekitar. Kehidupan dalam hutan dan gua memungkin segala sekeliling yang besar dan gagah akan dianggap sebagai ketua dan kuasa besar. Melihat gunung, pokok dan haiwan besar dan buas yang kelihatan lebih hebat fizikalnya berbanding diri menjadikan manusia gerun dan mengangkat semua ini sebagai Tuhan.

Kemudian , perjalanan akal manusia terus mencari. Selesai melihat yang di luar, manusia mula melihat diri sendiri. Kagum dengan kehebatan alat kelaminnya melahirkan manusia baru, maka disembahnya juga. Anak-anak yang lahir pula mengangkat ibu bapa sebagai dewa kerana dilahirkan mereka. Apabila mati, mereka mula percaya yang orang mati akan berada disekeliling mereka, sebab itu ada kalangan manusia menyimpan tengkorak supaya tidak diganggu oleh mereka yang baru mati. Ada yang membakar mayat supaya mereka dan semangatnya akan mati bersama.
Ini adalah perjalanan manusia mencari Tuhan. Mencari Tuhan menggunakan akal singkat. Menurut Hamka, akal fikir kita akan sampai kepada satu tembok yang tidak mampu ditembus. Maka harus ada sumber lain selain akal yang mampu menembusi tembok ini.
Hadirnya nabi dan rasul penyampai risalah wahyu untuk manusia menyelesaikan kekeliruan yang terbenak. Memandu akal yang mencari kebenaran tanpa menafikan kegiatannya.

Surah al-ikhlas, diturunkan Allah untuk bercerita tentang sifatnya yang sebenar. Cuba menyelesaikan segala kekeliruan tentang konsep Tuhan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1.       Katakanlah “Dia adalah Allah, Maha Esa”

  Ayat pertama bermula dengan menjelaskan nama Allah itu nama khas pada Tuhan kita dan bersifat esa, tiada tuhan melainkan Allah. Sudah tentu ayat ini jelas menolak segala pemikiran bahawa Tuhan berbilang banyaknya. Ayat yang sangat penting dalam mensucikan tauhid kita.

2.       Allah Adalah Penggantungan

  Seterusnya, ayat kedua menyokong ayat pertama, menegaskan bahawa Tuhan Yang Esa itu sudah tentu menjadi penggantungan semua makhluk dibawahnya.

3.       Tidak Dia Beranak, Dan Dia Tidak Diperanakkan

Kemudian, dijelaskan bahawa beliau tidak beranak dan diperanakkan. Memang diluar pemikiran manusia untuk berfikir ‘sesuatu’ yang hadirnya bukan dari ‘sesuatu’ yang lain. Memikirkan tentang diri yang dilahirkan oleh ibu, kemudian ibu dari nenek, nenek dari moyang dan seterusnya sehinggalah kepada nabi adam dan hawa. Kemudian, siapa yang melahirkan nabi adam dan hawa, dan yang melahirkan nabi adam hawa pula siapa yang melahirkannya. Sebab itu ayat ini membantu menyelesaikan kekeliruan bahawa Allah, itu bukan seperti kita yang harus mengikuti konsep dilahirkan-melahirkan, dan berada di luar lingkup undang-undang ruang dan masa.

4.       Dan Tidak Ada Baginya Yang Setara Jua Pun

Ayat terakhir dalam surah al-ikhlas cuba menyempurnakan sifat Tuhan itu dengan menyatakan tiada yang setara, serupa dengan Allah. Allah sahaja yang maha kuasa atas segalanya.

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Rukun iman pertama kita adalah percaya kepada Allah. Kepercayaan buta tanpa didasari ilmu akan menyebabkan kepercayaan ini akan bercambur baur dengan kepercayaan yang lain. Kalau dahulu di alam melayu walau seseorang itu Islam tetapi kerana ceteknya ilmu, masih mempercayai kepada kekuasaan roh-roh dan semangat jahat setara dengan kekuatan Tuhan. Juga sewaktu zaman jahiliyah, mereka mempercayai adanya Tuhan Allah tetapi masih tidak menolak kewujudan Tuhan lain seperti Tuhan Latta dan Tuhan Uzza. Pemahaman orang kristian menyatakan bahawa Isa itu anak Tuhan jelas bertentangan dengan ayat ketiga surah ini.

Namun, pada zaman moden ini, kekeliruannya berbeza pula. Dengan kemajuan sains dan teknologi, dunia yang tiada sempadan, maklumat semuanya di hujung jari juga semua orang mampu terbang, kegagalan sistem pendidkan menyediakan asas kukuh pada kebebasan seperti ini memungkin segala bentuk kekeliruan yang tidak disedari. Menganggap semua agama di dunia sebagai sama benar, mendewakan konsep sains sebagai kekuasaan setara Tuhan dan penolakan pada agama yang dilihat hanya mewujudkan kekacauan berbanding kedamaian (baca : obsesi pada demokrasi) adalah antara kekeliruan yang berlaku kini.

  Menyempurnakan kefahaman kita pada konsep Tuhan dan menyingkirkan segala kepercayaan lain yang menyimpang dari konsep ketuhanan yang telah ditetapkan adalah sesuatu yang perlu. Kerana kefahaman jelas pada konsep inilah yangmembezakan kita sama ada kita beriman atau tidak.

  Ibnu Qayyim menyebut, “menegakkan aqidah ialah dengan ilmu. Persediaan ilmu hendaklah sebelum amal.“
Wallahualam…

Oleh: Mohd Arif Alwan Khalid

rujukan :

1. falsafah ketuhanan, HAMKA
2. tafsir azhar, HAMKA

0 comments:

Post a Comment