Monday 11 March 2013

TRAVELOG: SABAH OUTREACH 2 [Edisi Farhana]

Posted by Faciteam on 01:29 with No comments
Bagi aku kembara ini bukan yang biasa-biasa. Perjalanan selama 10 hari mencetuskan rasa kesedaran yang tinggi. Apalagi rasa keinsafan dan syukur sebagai seorang hamba yang cukup segala-galanya. Meninjau kehidupan masyarakat yang serba kekurangan dan mendampingi adik-adik yang faham nilai dakwah sudah pasti satu pengalaman yang tidak mampu dikongsi hanya pada lembaran ini. Perjalanan bersama 8 sahabat yang lain punya suka dan duka yang kami kongsi bersama. Nawaitu menjadi pegangan kuat kami dalam perjalanan kembara ini.


16 Januari 2013

Persiapan terakhir

Aku sibuk menyusun baki-baki terakhir barangan yang harus dibawa ke Sabah. Menyusun setiap pakaian kemas di dalam beg yang dikongsi bersama Bada. Sedikit risau. Bimbang muatan kami berlebihan. Seperti yang dijanji, kami berempat bertemu di ‘musolla cf sis’. Setiap beg perlu ditimbang supaya muatan tidak berlebihan. Ketika husna tiba, aku kaget melihat bagasi yang dibawa.  Penuh. Dengan menggaru kepala, aku kembali menyusun baju-bajunya yang perlu untuk dibawa. Separuhnya, terpaksa dibawa balik ke bilik. Sementara menanti jam 2 pagi untuk bertolak, aku, Ina, Bada dan Una rancak berborak untuk lebih mengenali masing-masing. Proses ‘ice-breaking’ sedang berjalan dengan baik. Kami turut ditemani Su, K.Ira dan Mira yang sudi mengiringi perjalanan kami. Una berkongsi cerita yang selama dia tinggal di asrama, ibunya yang akan menyusun beg bajunya. Kami tergelak mendengar celoteh Una. ‘Patut la aku terpaksa kemaskan balik baju-baju Una’. Suara hati berbisik.  ‘Brothers’ sudah siap dengan beg masing-masing dan menanti di luar surau. Borak mereka ditemani suara-suara cengkerik yang turut berjaga menunggu keberangkatan kami barangkali.

Pelukan semangat

Sebelum bergerak, Bui yang turut menjadi penumpang kami malam itu mengetuai bacaan doa. Kemudiannya, Semua barang siap dimasukkan ke dalam van. Sebelum menaiki van, kami mendapat pelukan dan kata-kata semangat daripada sahabat-sahabat yang mengiringi. Tika tubuh dirangkul, rembesan panas mula mengalir di pipi. Sebak memikirkan tanggungawab yang harus dipikul. Sedih kerana mereka tidak dapat bersama-sama dengan rombongan SOP kali ini. Su dan K.Ira antara penggerak yang seharusnya turut serta bersama rombongan ini. Namun, Allah inginkan perancangan yang lain buat mereka. Atas kekangan masing-masing, semua terpaksa menarik diri di saat-saat terakhir. Lambaian mereka jauh menghantar kami ke jalanan. Masing-masing membisu melayan lamunan. Hanya deruan enjin yang kedengaran saat itu. Fikiran menerawang teringatkan Syuk. Seperti Su dan K.ira, Syuk terpaksa batalkan niat untuk ke Sabah. Baru petang tadi, dia mendapat khabar opahnya tenat. Hati mana yang tak keruan saat semuanya sudah dirancang, namun terpaksa menarik diri di saat terakhir. Bagi aku, itu adalah pengorbanan yang besar yang perlu dilakukan. ‘Allah sedang melihatmu Syuk’.  Beban di bahu makin berat pada aku dan Ina. Kami adalah penggerak awal SOP yang perlu membawa adik-adik ke Sabah. Walaupun tugas ketua diserahkan pada Afiq, aku dan Ina masih terasa bebananya  kerana kami sendiri tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku di sana. Hati terdetik, apa lagi rencana Tuhan untuk menghantar aku ke Sabah, di saat sahabat-sahabat yang lain tidak mampu untuk turut serta dalam ekspedisi kali ini.

Penantian yang panjang

Kami tiba di LCCT pada jam 5.30 pagi. Penerbangan ke Kota Kinabalu adalah pada pukul 10.40 pagi. Ketika matahari menjenguk, masing-masing berkeliaran mencari makanan. Perut mula berbunyi minta diisi. Harga makanan yang mahal memaksa kami mengalas perut dengan roti dan jem yang dibawa. Asma’ tiba ketika kami sibuk menimbang bagasi. Asma’ daripada UIA Gombak turut bersama kami untuk menyampaikan sumbangan daripada pihak tertentu. Amanat daripada si penderma menuntut Asma’ untuk turut bersama dalam rombongan kami. Penerbangan ke Kota KInabalu memakan masa selama 2 jam setengah telah membawa kami terbang membelah Laut China Selatan. Setibanya di sana, kami mencari ‘port’ yang sesuai untuk berkumpul. Jauh di satu sudut, kami duduk menunggu dan berbincang sementara menanti abang Rizal yang akan tiba jam 8.40 malam. Tempat itu menjadi ‘ kubu’ kami bak kata Iddin, melihatkan kedudukannya yang stategik dan bebas daripada lalu lintas. Aku dan Ina kongsikan pengalaman kami sewaktu SOP I supaya adik-adik mendapat sedikit gambaran tentang program kali ini. Baki waktu yang ada, kami bincangkan modul untuk program yang akan berlansung pada hujung minggu ini. Ketika abang Rizal tiba, van sekolah  sudah menunggu kami. Kami lansung bergerak ke Ranau menuju ke Sekolah Menengah Agama Ranau (SEMEKAR).  Jalan raya yang berliku menyukarkan kami untuk lelap walaupun penat. Setelah menempuh perjalanan selama 2 jam, kami tiba di SEMEKAR. Cuacanya yang dingin menyambut ketibaan kami. Lantas, kami dibawa ke bilik tetamu untuk penginapan kami selama di Sabah.

17 Januari 2013

Bertemu pihak pentadbir

Pagi kami ditemani dingin yang menggigit. Airnya sahaja sudah cukup membuatkan kami menggeletar. Waktunya yang satu jam awal memaksa kami bangun lebih awal untuk solat subuh. Usai bersarapan, kami terus bertemu ketua warden, Encik Hisam. Ditemani cg. Jumirah selaku guru kaunselor dan cg. Nurul Asma, kami bincangkan tentatif dan perancangan kami sepanjang di Sabah. Maklumat mengenai program diterang dengan lebih lanjut dan terperinci. Jika sebelum ini, penyampaian maklumat seakan tidak berkesan kerana kami hanya berhubung melalui telefon. Maklumat yang diterima juga agak terbatas. Selesai sesi perbincangan, kami bersua muka dengan puan pengetua. Beliau seperti sebelumnya, banyak memberikan nasihat buat kami. Beliau sendiri berkira-kira mengapa kami mengambil keputusan untuk membuat program kepada pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM. Jika diikutkan, pihak sekolah tidak mendapat sebarang  manfaat daripada program tersebut. Namun, pegangan iman itu menumbuhkan sangka baik.  Alhamdulillah, ustazah nampak apa yang ingin kami bawa. Bagi aku, kami membawa misi besar ke Sabah. Seboleh-bolehnya, kami ingin tubuhkan ‘faciteam junior’ di Sabah. Itu antara yang dirancang. Mungkin, Allah punya lakaran lain.


Tugas bertambah

Petangnya, kami berangkat ke Rumah Putera Harapan (RPH). Bertemu adik-adik yang sudah setahun kami tinggalkan. Penghuninya masih sama. Cuma, beranjak usia. Tingkah laku juga masih tidak berubah. Mereka inginkan perhatian daripada pengunjung yang hadir. Adik-adik tahun 6 sibuk belajar memandangkan tahun ini mereka akan menempuh peperiksaan UPSR. En. Sabri selaku penjaga rumah RPH dan wakil ABIM sudah menyusun perancangan yang banyak buat kami. Kami menyusun jadual dan mengisi aktiviti harian kami sepanjang di Sabah. Jadual kami penuh tiba-tiba. Masa kami terisi sepenuhnya. Kami akan melawat kampung selama 2 hari, mengadakan bengkel pengurusan dan menyambut sambutan maulidur rasul. Sudah pasti SOP II punya kelainan berbanding SOP I. Masing-masing berdebar menunggu detik waktu itu. Malamnya, kami pulang ke SEMEKAR membawa tugasan yang pelbagai untuk dibahagi-bahagikan. Setiap orang punya peranan yang berbeza untuk melintasi 10 hari di Sabah. Namun, kami fokuskan dulu pada program TOF dan kepimpinan yang akan bermula esok. 2 program akan dilaksanakan serentak di tempat yang berbeza, fokus yang berbeza dan objektif yang berbeza. Kami mohon doa semoga dipermudahkan segalanya.

18 Januari 2013

Program bermula

Kami duduk membincangkan persiapan terakhir program. Afiq sebagai ‘head faci’ Training of Facilitator (TOF) dan Hazwan mengetui program Kepimpinan. Aku dan abang Rizal membantu Afiq dan yang lain bersama-sama Hazwan. Apa yang menarik ketika program fasi di Sabah? Bilangan fasi yang sedikit untuk menggerakkan program yang ada. Setiap fasi akan digunakan semaksimum mungkin untuk membantu program berjalan. Bilangan fasi tidak penting asal sahaja kami mampu memberikan ‘input’ yang terbaik untuk adik-adik. Bahkan, ketika di SOP I tiga program berjalan serentak di bawah kelolaan 7 orang fasi. Perkara itu tidak mustahil untuk dilakukan. Alhamdulillah, kami berjaya menggerakkannya. Untuk program kali ini, kami mengharapkan kejayaan yang sama.

Taaruf,’ ice-breaking’ dan ‘mind-setting’

Adik-adik lepasan SEMEKAR mula mendaftar pada jam 11 pagi. Aku, Afiq dan abang Rizal menyambut ketibaan mereka. Dianggarkan seramai 20 orang akan mengikuti program TOF dan majoriti daripadanya adalah lepasan tingkatan 5. Modul bermula dengan aktiviti taaruf, ‘ice-breaking’ dan ‘mind-setting’. Aku kira kami berjaya memecahkan tembok antara peserta dan fasi. Tinggal sahaja, ada beberapa peserta yang perlu kami dekati lagi. Hari pertama program berlalu dengan ‘post-mortem’ kami di malam hari ditemani minum malam di dewan makan.

19 Januari 2013

Kejutan luar biasa

Pagi itu, ada juga yang terlajak di katil. Mungkin, beza waktu yang berlainan memerlukan fasi-fasi mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di Sabah. Bayangkan, pukul 8 pagi di sana sebenarnya sudah jam 9 di semenanjung. Akibatnya, aku menjadi bidan terjun untuk memulakan program TOF.

Pengisian berjalan seperti biasa. Fokus kami untuk TOF hanya satu, supaya adik-adik mampu balik ke SEMEKAR dan pada masa yang sama bergiat aktif di universiti masing-masing. Konsep hamba dan khalifah yang dibawa diharapkan mampu mencetuskan kesedaran dalam diri adik-adik. Kami mahu mereka sedar, mereka punya peranan yang besar untuk mengerakkan dakwah di Ranau. Kami mahu adik-adik menjadi pencentus di SEMEKAR. Kami mahu adik-adik membawa konsep fasi  dalam menggerakkan tanggungjawab sebagai seorang khalifah. Pengenalan tentang fasi, etika dan ciri-ciri mengisi waktu pagi kami. Namun begitu, sesi petang itu bertukar wajah. Maklumat yang kami dapat daripada adik-adik amat mengejutkan. Maklum balas daripada adik-adik hasil soalan yang dilontar oleh Afiq ketika program mengkagetkan kami. Rupa-rupanya mereka pernah mengikuti program fasi. Mereka pernah menjadi fasi. Bahkan, salah seorang peserta pernah menjadi ‘head fasi’. Apa reaksi yang kami boleh berikan ketika itu? Rasa ditampar. Modul kami berkisar tentang pengenalan fasi. Sedangkan adik-adik sudah melepasi tahap jangkauan kami. Mereka pernah mengikuti program dan menjadi fasi. Pendekatan yang seharusnya adalah mengenai kemahiran seorang fasi dan pendedahan modul. Kami terduduk diam. Afiq pantas meninggalkan adik-adik tugasan supaya mereka boleh berbincang sesama mereka sementara kami berkumpul untuk menyelesaikan info terbaru yang kami terima.

Masing-masing merasa percikan keringat di dahi. Fokus kami bertukar. Modul FST 2 diganti dengan modul yang sedia ada. Kali ini, abang Rizal mengambil alih. Adik-adik didedahkan dengan ‘flow’ modul. Adik-adik juga ditekankan tentang perjalanan program. Selain itu, adik-adik diingatkan untuk merasionalkan setiap permainan yang dimodulkan. Walaupun pengisian petang itu sedikit berat, aku yakin itulah yang dicari oleh adik-adik.

Luahan hati

Malamnya, kami membuat penilaian terhadap adik-adik. Adik-adik diminta untuk menyusun pergerakan perjalanan program. Satu kumpulan mendapat program kepimpinan manakala satu kumpulan lagi perlu menyelesaikan program motivasi. Penerangan demi penerangan diberikan supaya adik-adik betul-betul memahami pengisian yang diberi. Sebelum peserta dilepaskan, Afiq meminta komen daripada adik-adik supaya apa yang kami berikan bertepatan dengan apa yang mereka perlukan. Seorang peserta bangun. Kami agak terperanjat. “Inilah yang saya cari sebenarnya! Semalam, apa yang kakak dan abang-abang berikan sudah kami dapat sebelum ini. Saya merasakan program ini sama sahaja dengan program-program kami sebelum ini. Tiada beza. Tapi, apabila tengahari tadi abang Afiq tanyakan pada kami perihal fasi dan sebagainya, baru kakak dan abang-abang tahu perkara sebenar. Abang Afiq pun nampak terkejut. Terima kasih pada abang-abang dan kakak kerana telah berikan yang terbaik buat kami. Inilah yang kami perlukan selama ini”. Lebih kurang begitulah antara luahan yang dilontarkan. Jantung kami bagai disentak. Perasaan aku mula bercampur baur. Terharu dan gembira. Selama program berjalan, adik itu antara yang paling malu dan susah untuk berkata-kata. Rupa-rupanya, diam-diam dia ubi berisi. Menjadi ‘observer’ yang baik. Menilai setiap butir-butir kata kami. Dalam diam, dia memendam suatu perasaan yang tidak mampu dibaca oleh kami. Alhamdulillah, kami merasakan inilah kemuncaknya program ini. Kami berjalan pulang malam itu dengan rasa puas.

20 Januari 2013

POA

Hari ini adalah hari terakhir program. Adik-adik perlu merencanakan tindakan mereka selepas ini. ‘Plan of Action’ atau POA akan menjadi hidangan terakhir adik-adik. Kami biarkan adik-adik merancang pelan mereka sendiri. Adik-adik mula menyusun program yang bakal mereka laksanakan. Masing-masing nampak tekun membincangkan perjalanan program yang akan dijalankan. Kami memerhati dari jauh gelagat adik-adik. Membiarkan mereka memandu sendiri bahtera yang dibina dengan dikepalai oleh seorang nakhoda. Tidak perlu untuk kami mengarah. Hanya sesekali kami membetulkan layar tika bahtera mula melencong ke arah lain.

Mereka istimewa

Masa terasa pantas sekali. Program TOF akan melabuhkan tirainya. Kami berkumpul buat kali terakhir. Harapan terakhir daripada fasi-fasi diharapkan mampu menjadi pegangan adik-adik. Bagi aku, mereka adalah yang terpilih. Mereka berbeza daripada adik-adik di Semenanjung. Di tahap ini, mereka sudah mampu berfikir mengenai ummat. Seorang adik tika ditanya bagaimana mula-mula tercetus untuk membuat program, jawabnya, “ketika habis sekolah, saya merasa bosan. Lalu, difikirkan alangkah baik jika mampu membuat program”. Remaja yang hebat. Rasa bosan diganti untuk memajukan ummat. Jauhnya kita berbanding dia. Mungkin waktu bosan kita diisi dengan bermain ‘games’, tidur atau sebagainya. Dengan kudrat yang ada, semuanya digerakkan sendiri dengan bantuan sahabat-sahabat yang lain. Daripada membuat kertas kerja, mencari tempat dan sasaran hinggakan mencari dana, semuanya dilakukan sendiri. Itu kekuatan yang mereka ada. Jika di tingkatan 4 mereka sudah mampu berfikir sejauh itu, dewasa mereka tentu lebih hebat lagi. Kami fasi-fasi sendiri secara jujurnya cemburu dengan adik-adik. Mereka mendapat kesedaran di awal usia dan memanfaatkan masa yang ada sebaiknya. Aku melihat Ranau bakal berubah corak. Generasi yang akan memimpin sedang tumbuh mekar. Hanya menunggu waktu dan musimnya untuk dipetik. Kepulangan adik-adik membawa misi besar untuk dilaksanakan. Doaku, agar mereka tetap dan kuat di jalan ini.

Menyusun pergerakan

Petang itu, selepas mendapatkan sedikit rehat, kami bertapak di RPH. Ceria wajah adik-adik menyambut ketibaan kami. Semua fasi tekun mendengar celoteh dan melayan ragam adik-adik. Masa yang singkat kami peruntukan sebaik-baiknya bersama mereka. Selepas adik-adik tidur, kami bersama En.sabri berbincang tentang perjalanan esok. Kami juga menyusun kembali program-program yang bakal dilaksanakan. Seperti sebelumnya, pembahagian ‘team’ akan berlaku. Fokus kami berpecah pada kanak-kanak, ibu-ibu dan golongan bapa. Malam itu, kami tidur di RPH untuk memudahkan pergerakan pada hari esok. Selepas perencanaan, semua fasi masuk ke kamar. Mungkin kerana penat yang masih berbaki barangkali, semuanya tidur dalam dengkur yang panjang.

21 Januari 2013

Pagi yang ceria

Suasana pagi itu riuh rendah dengan gelagat adik-adik yang akan ke sekolah. Kami membantu untuk menyiapkan mereka ke sekolah. Adik-adik perlu dipaksa untuk mengambil sarapan pagi. Ada yang masih di katil dengan siap berbaju sekolah. Ada yang masih mencari-cari baju sekolah. Ada pula yang sibuk menyusun buku. Macam-macam ragam yang perlu kami lihat. Kami hanya mampu mengeleng-geleng kepala kerana kami pun pernah melalui zaman itu. Tersenyum dengan gelagat adik-adik. Bagi yang bersekolah di sesi petang, mereka sudah punya jadual khas untuk diisi di waktu pagi. Tugas mereka  adalah mengemas rumah dan membuang sampah. Itu antara latihan yang diberi supaya adik-adik mampu berdisiplin. kami menghantar adik-adik ke sekolah dengan lambaian.

Jalan yang berliku

Kami bertolak dalam jam 10 memandangkan van yang akan ‘brothers’ naiki lambat tiba. Perjalanan masuk ke kampung agak mencabar. Jalannya yang tidak berturap dan becak akibat hujan, menyukarkan perjalanan masuk. Kampung yang akan kami jejaki mengambil masa selama 2 jam untuk tiba. Menurut En. Sabri, kampung Sumbilingon ini adalah yang paling dalam dan kebanyakkan penduduknya adalah Islam. Penduduk di situ adalah berbangsa Dusun. Setibanya di sana, kami disambut oleh penduduk kampung. Rupa-rupanya, mereka sudah lama menunggu kami. Seawal jam 9 pagi lagi. Kami mula beramah mesra dengan penduduk kampung. Masyarakat di situ baik-baik dan peramah. Kanak-kanak pula mudah mesra dan pantas sekali bergaul dengan kami. Adik-adik riang menyanyikan lagu untuk kami. Sedikit masa diperuntukan untuk sesi taklimat. Selepas itu, kami mula meyusun barang yang dibawa.

Santapan untuk 100 orang

Petang itu, kami bersiap sedia untuk pelaksanaan program. Iddin diberi tugas mengetui pasukan bersama adik-adik, dibantu oleh Hazwan, Una dan Bada. Memandangkan sikap Iddin yang bersifat anak-anak, aku yakin itulah tugas yang paling sesuai buatnya. Afiq dan abang Rizal ditugaskan ke sekolah untuk berjumpa dengan cikgu bagi menyempurnakan program di sekolah pada hari esok.Aku, Ina dan Asma’ membantu ibu-ibu di dapur untuk persiapan makan malam. Menu kami adalah nasi putih, sup ayam dan sayur goreng. Di situ, kami mendapat julukan ‘ustajah’ dan ‘ustaj’. Segan rasanya dipanggil begitu. Kalau di Semenanjung, taraf ustaz dan ustazah itu tinggi di sisi masyarakat. Kami ini hanya siapa-siapa sahaja.
Kami mengambil peluang berborak sambil memotong sayur. Mengikut cerita kak Jalina kehidupan penduduk di sini sangat susah. Mereka hanya makan nasi berlaukkan pucuk ubi. Kalau dapat makan ayam atau ikan pun, hanya sebulan sekali. Itupun perlu keluar jauh ke pekan. Kak Jalina merupakan pengerusi surau di kampung itu. Dia yang menjadi penghubung untuk apa-apa majlis atau program yang akan dijalankan. Semua penduduk di situ beragama Islam, kecuali satu keluarga sahaja yang belum Islam.

Ina mengetui gerakan memasak hari itu. Dia menjadi ketua chef. Ibu-ibu juga tidak kisah dan menyuruh kami memasak mengikut rencah semenanjung. Hanya satu kerisauan aku, boleh ke mereka makan masakan semenanjung? Risau, lidah mereka tidak serasi. Aku tawakal sahaja pada Allah. Menu kami ditambah dengan pucuk ubi yang dibuat oleh salah seorang ibu di situ. Pucuk ubi yang direbus akan digoreng bersama bawang, garam dan gula.Tiba-tiba, semua jadi kelam kabut. Gas untuk kami memasak hanya ada satu. Nasi baru satu kali ditanak. Masih menunggu yang kedua untuk masak. Sayur dan sup juga belum dimasak. Semua berfikir-fikir macam mana mahu buat. Matahari mula tenggelam. Sekejap lagi keadaan akan gelap. Di situ, penduduk hanya bergantung pada lilin dan generator yang diisi dengan minyak gasolin. Abang Rizal yang dari tadi sedikit sebanyak membantu kami, bergegas mencari En. Sabri. Baru aku tahu rupanya abang Rizal punya bakat di dapur. Abang Rizal datang bersama En. Sabri. En. Sabri kelihatan sedikit tegang. Maklumat yang baru diterima sedikit menganggu ketenteramannya. Mungkin dia risau masalah itu akan menganggu perjalanan program. Alhamdulillah, semuanya dapat diselesaikan dengan baik. Ina bertungkus-lumus menyiapkan supnya. Dapat juga kami merasa resepi daripada Pulau Pinang. Aku bergilir bersama Bada menggoreng sayur untuk solat Maghrib. Semuanya siap pada jam 8 malam. Badan kami mula bermandikan peluh.

Senyum hingga ke telinga

Sebelum slot bermula, kami menjamu penduduk kampung dengan hidangan yang dimasak. Anak-anak kecil mendahului perbarisan. Masing-masing beratur menunggu giliran. Aku membantu kaum ibu mengisi lauk untuk anak-anak mereka. Berselera sekali mereka makan sehingga ada yang menambah untuk kali kedua. Mungkin penat bermain petang tadi bersama abang Izzuddin menambahkan lagi selera mereka. Selepas Isyak, kaum bapa pula mengambil tempat. Fasi lelaki juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama menikmati santapan malam. Aku dan Bada terus menambah bekas yang kosong. Aku menjadi risau apabila melihat ‘brothers’ yang  hanya mengambil sedikit nasi dan lauk. Sedangkan, waktu siang tadi mereka hanya mengalas perut dengan mee dan kuih. ‘Tak berselerakah?’. Setahu aku, sepanjang kami di Sabah, ‘brothers’ yang akan menghabiskan makanan yang ada.  Si bongsu dalam rombongan ini pula, sentiasa bertanyakan kami waktu makan walaupun baru sahaja selesai mengisi perut. Aku terus memerhatikan gelagat mereka dari jauh. Kerisauanku hanya sementara apabila seorang demi seorang bangkit menambah nasi di pinggan. Seperti yang disangka.
Ina adalah orang yang paling gembira hari itu. Melihatkan supnya di dapur yang hanya tinggal kuah, dia mampu tidur dengan lena malam ini. Aku kira, Ina berjaya memancing perut-perut yang lapar untuk menghabiskan supnya. Lebih menggembirakan kami berjaya memasak untuk 100 orang makan. Pencapaian yang terbaik setakat ini.

Perkongsian

Apabila semua sudah kenyang, kami teruskan dengan slot kedua. Pembahagian kumpulan dijalankan. Satu kumpulan akan bermain bersama adik-adik, kumpulan kedua akan berada di surau bersama para bapa dan satu kumpulan lagi akan bersama ibu-ibu. Masing-masing mula mengambil tempat. Di bahagian ibu-ibu, kami bersoal jawab dan berkongsi serba sedikit mengenai permasalahan fiqh dan soal ibadat. Setakat kefahaman yang kami ada, kami jawab setakat yang termampu. Di awal usia keislamanan mereka, sudah tentu banyak perkara yang belum terjawab dan memerlukan penjelasan. Kami cuba sedaya mungkin untuk menyelesaikan persoalan yang berbangkit. Di akhir perbincangan, aku minta mereka kongsikan pengalaman mereka masuk Islam. Aku tertarik untuk mencoretkan pengalaman daripada seorang kakak yang hadir.

“Akak dulu penganut agama Kristian yang kuat. Semua keluarga akak Kristian. Akak baru 2 bulan memeluk Islam. Akak mula tertarik dengan Islam apabila melihat pamakaian orang Islam. Sangat sopan. Entah kenapa hati akak tertarik melihatnya. Sejak pada itu, akak mengajak suami untuk masuk Islam. Kini, kami sekeluarga Islam. Alhamdulillah, kami cuba sedaya upaya untuk mengerjakan solat”. Tersentuh hati mendengar cerita mereka. Ada yang sudah lama menyimpan hasrat untuk memeluk Islam, tetapi takut ditentang keluarga. Apabila menginjak dewasa, baru berani untuk bersuara. Alhamdulillah, hidayah milik mereka. Lafaz syukur yang mampu aku panjatkan. Kita yang sudah lama beragama Islam belum tentu boleh menghayati nilai-nilai Islam sepenuhnya. Melihatkan kecekalan mereka untuk terus mendalami Islam, diri terasa kerdil. Di mana penghayatan Islam aku?

Mesyuarat ‘candle light’

Lewat malam, baru aku, Ina dan Bada sempat menjamah sedikit makanan yang kami masak. Yang lain, turut ikut serta berkongsi makanan dengan kami. Sedang kami enak menikmati santapan, salah seorang daripada ‘brothers’ minta dibuatkan air. Panas telinga kami dibuatnya. Kami cadangkan ‘brothers’ untuk bangun dan bancuh sendiri air. Aku kira itu tugas mudah. Beberapa ‘brothers’ bangun, meringankan tangan masuk ke dapur. Malam itu, dapat juga kami merasa air yang dibancuh hasil tangan ‘brothers’. Bila lagi mereka nak belajar masuk dapur. Kalau di rumah tidak merasa, aku rasa program adalah tempat sesuai untuk mereka berlatih.
Selesai mengisi perut, kami duduk untuk membincangkan modul. Esok, kami akan berprogram di sekolah. Abang Rizal dan Afiq mula membentangkan dapatan yang diperolehi daripada cikgu petang tadi. Kami hanya diberi masa 2 jam untuk mengisi slot bersama adik-adik. Semua menggaru kepala. Apa yang kami boleh isi dengan hanya 2 jam yang diberi? Dengan masing-masing menahan kantuk, lampu yang tergantung mula menunjukkan isyarat akan mati. Generator mula berbunyi tanda minyak yang diisi bakal habis. Kami mula gelisah. Dengan pantas, kami minta ‘brothers’ untuk hidupkan lilin. Iddin bergegas ke dapur. Sekelip mata, keadaan menjadi gelap gelita. Masing-masing membuntu. Kami sambung perbincangan ditemani cahaya lilin yang menerangi ruang tengah rumah.  

22 Januari 2013

Jadi tak jadi

Jika diikutkan perancangan, ‘brothers’ akan memasak untuk sarapan pada pagi ini walaupun pelbagai dalih yang mereka beri. Aku sedikit lega apabila Iddin mula bertanyakan apa yang perlu dimasak. “nasi atau mee?”. Soalan yang diajukan seakan memberi petanda positif ‘brothers’ akan siapkan sarapan pagi itu. Namun, jangkaan kami meleset. Akhirnya, kami terpaksa masuk ke dapur untuk memasak apabila melihatkan ‘brothers’ masih lagi berselimut.

Waktu bersama adik-adik

Kedatangan kami disambut baik oleh pihak sekolah dan adik-adik. Adik-adik yang dikumpul datang daripada tahun 5 dan 6. Fokus yang mampu kami bawa dalam masa 2 jam adalah halatuju adik-adik. Afiq mula mengambil tempat di depan. Bertindak sebagai ‘Head faci’, Afiq cuba menarik adik-adik ke dalam program kami. Selepas pembahagian kumpulan dilakukan, kami berpecah mencari tempat yang sesuai untuk aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK). Aku berpasangan dengan Ina berjaya mencari bilik darjah untuk memulakan misi kami.

45 minit pertama diperuntukkan untuk taaruf ringkas, ‘ice-breaking’ dan ‘mind-setting’. Adik-adik kelihatan masih malu-malu. kami terpaksa lebihkan ‘games’ supaya ‘ice-breaking’ berjaya. 45 minit terakhir digunakan untuk slot matlamat dan halatuju adik-adik. Resolusi kami membawa adik-adik untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai 5A. Program di sekolah ditutup dengan aktiviti bersalaman bersama fasi dan sesi bergambar. Adik-adik mula menitiskan air mata saat menerima pelukan kami.

Lambaian terakhir

Pulang ke kampung, kami bersiap-siap untuk pulang. Kembara kami di kampung Sembiligon telah selesai. Walaupun sekejap, banyak yang kami belajar dan seronok dapat mengenali penduduk di situ. Sedang kami sibuk mengemas, para ibu sudah siapkan makan tengahari kami. Mee yang digoreng menjadi hidangan kami tengahari itu.

Selepas solat Zohor, semua barang diangkut masuk ke dalam jip. Semua penduduk kampung masih setia menunggu keberangkatan kami. Setiap tangan disalami. Sedih tetap terpalit saat bahu dirangkul. Mereka mengharapkan lagi kedatangan kami ke sana. Panggilan ‘ustajah’ dan ‘ustaj’ masih tidak putus. Kami mohonkan doa daripada mereka. Aku memandang dalam-dalam mata K.Jalina. Memberi kata-kata semangat supaya terus membantu penduduk kampung mendalami Islam. Dia juga mengharapkan doa kami. Insyallah, itu senjata paling kuat rasanya. Walau kita jauh, doa akan sentiasa menjadi penghubung.

Aku dan Asma’ menaiki van bersama ‘brothers’ memandangkan kerusi kosong masih banyak. Memberikan sedikit ruang pada sahabat yang menaiki jip agar lebih selesa dalam perjalanan. Ketika van bergerak, kami berbalas lambaian. ‘Semoga ini bukan yang terakhir. Semoga kemiskinan mereka tidak membunuh ummat di sini’. Aku tersenyum mengingat kembali nyanyian adik-adik saat menyambut ketibaan kami:

Tinggi, tinggi Gunung Kinabalu,
Tinggi lagi sayang sama kamu,
Biru-biru hujung Kinabalu,
Tengok dari jauh hati saya rindu.

Dalam perjalanan pulang, melalui laluan yang becok dan berbukit, jip yang dibawa oleh En. Sabri tiba-tiba tidak dapat bergerak. Van kami melepasi jip yang turut membawa Ina, Bada dan Una. Kami terpinga-pinga. Terus, pak cik van memberhentikan van ke tepi dan turun bersama ‘brothers’. “Sah, kena tolak”. Spontan kalimat itu keluar dari mulut aku. Asma’ mengangguk-angguk tanda setuju. Kedudukan van yang jauh daripada jip menyukarkan kami melihat apa yang sedang berlaku. Kami hanya mampu duduk menunggu di dalam van. Tidak sampai 10 minit, kelihatan ‘brothers’ berjalan naik bersama ‘sisters’ yang lain. Aku tersenyum memandang mereka. “Ni, siapa yang berat ni?. Ingatkan berat dah kurang bila kami berdua turun. Siapa yang bertambah berat ni?”. ‘Sisters’ yang lain tersenyum sipu mendengar usikan aku. Mereka sekerasnya menafikan tanggapan aku. Aku hanya mampu ketawa. Kami meneruskan perjalanan pulang. “Tayar jip masuk dalam jalan yang berlekuk”. Keadaan jalan yang curam turut menyukarkan jip untuk naik ke atas. “Sebab tu kena tolak”. Terang ‘brothers’. Kami nikmati perjalanan dengan pemandangan hutan di sepanjang jalan.

Aku dan Asma’ geli hati melihat Iddin dan Wan tidur sambil kepala melekat antara satu sama lain. Dah macam pasangan kekasih. ‘Brothers’ semua sudah menyepi menandakan mereka semua sudah lama syahid. Tinggal kami di belakang yang masih terjaga, terhuyung-hayang mengikut rentak jalan yang berliku. Tinggal beberapa kilometer lagi sebelum kami bertemu jalan besar.

Kami tiba di SEMEKAR lewat petang. Malamnya, kami teruskan perbincangan untuk hari esok. Misi kami belum terhenti.

Oleh: Farhana Hanafi

bersambung.....
 

0 comments:

Post a Comment